
Penyanyi dan pelakon, Safura Yaacob tampil menjelaskan sebab dia memilih menggunakan ‘mute the mic’ terhadap salah seorang juri, Datuk AC Mizal pada saingan minggu keempat Talk To My Manager musim ke-2 (TTMM2), malam tadi.
Menurut Safura, dia merasakan reaksi AC Mizal seolah-olah kurang berminat dengan persembahan anaknya, Kim Khairii yang menyampaikan lagu ‘Risk It All’ nyanyian asal Bruno Mars.

“Sebenarnya saya nak guna kelebihan ‘mute the mic’ itu pada minggu-minggu sebelum ini tapi saya merasakan tidak perlu. Malam tadi, saya nampak keperluannya.
“Saya nampak reaksi Datuk AC Mizal. Mungkin dia tak suka cara anak saya bawakan lagu itu. Pada saya, nyanyian Kim Khairii malam tadi tiada silapnya. Mungkin lagu itu bukan lagu ‘sing a-long’.
“Kalau lagu ‘sing a-long’, letaklah siapa penyanyinya pun, orang tetap akan menyanyi beramai-ramai. Bila ramai ‘sing a-long’, ramai ingat persembahan itu terbaik,” katanya kepada MH.
Safura berkata demikian ketika ditemui selepas tamat konsert minggu keempat TTMM2 yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.
Ketika ditanya sama ada keputusan menggunakan imuniti ‘mute the mic’ memberi kesan terhadap pemarkahan sehingga Kim Khairii berada di kelompok tiga terbawah, Safura mempunyai pandangannya sendiri.

“Sepatutnya ia tidak mempengaruhi pemarkahan. Itu adalah pilihan yang diberikan kepada pengurus. Kalau ia mempengaruhi markah kami, ia sememangnya tidak adil.
“Kenapa nak buat kelebihan itu jika ia mempengaruhi markah? Sebagai juri, anda kena terima keputusan ini dengan hati yang terbuka.
“Ada sebab kenapa kita pilih untuk tak mahu mendengar komen pada malam itu. Kalau disebabkan itu anda nak tolak markah, itu tidak adil. Lebih baik tak payah buat kelebihan itu,” ujarnya lagi.
Terkilan Kim Khairii Bottom 3?
Dalam pada itu, penyanyi lagu Sedalam Mana Cintamu ini turut menepis dakwaan kononnya dia tidak menjalankan tugas sebagai pengurus dengan baik sepanjang minggu ini.

“Kalau nak kata saya tidak jalankan tugas pengurus dengan baik, kedatangan saya penuh dan tak pernah terlepas sesi bersama artis.
“Saya buat kerja saya. Saya pun tak tahu kenapa Kim Khairii berada di kedudukan tiga terendah. Saya sangat terkilan. Kim Khairii berikan persembahan terbaik.
“Kalau tak sampai ke hati juri, tak tahulah. Orang lain dengar okay sahaja. Kecuali dia buat kesalahan di atas pentas seperti lupa lirik atau lari tempo. Itu saya terima,” kongsinya lagi.
Pada masa sama, Safura turut beranggapan persembahan Kim Khairii tidak seburuk yang disangka sehingga berada di kedudukan tercorot.

“Saya tak rasa apa yang saya cakapkan ini salah. Saya bercakap di atas kapasiti apa yang saya rasa. Kalau juri rasa tak bagus, tetap tak bagus di mata dia.
“Pada saya, hari ini, persembahan Kim Khairii sangat bagus. Kalau sumbang, layaklah dia berada di tiga terendah. Saya rasa, ada yang menyanyi lebih teruk walaupun persembahan mereka nampak luar biasa.
“Bagi saya, sebagai juri profesional, anda tak boleh cakap ‘Saya suka awak’. Pada saya, itu bias. Kalau benar anda profesional, tak perlu kata anda suka mana-mana peserta.
Anda mungkin berminat dengan
“Sebab suka, anda nak bagi markah tinggi? Anda sepatutnya tengok secara keseluruhan,” katanya lagi.
Terdahulu, Safura dan Kim Khairii sekadar menduduki tangga ketujuh pada saingan minggu keempat TTMM2 selepas memperoleh markah keseluruhan sebanyak 71.33 peratus.

Malam tersebut turut menyaksikan Datuk Fazley Yaakob dan Fariedz menjadi gandingan kedua yang tersingkir daripada program berkenaan.
TTMM2 dikendalikan oleh pengacara legenda, Aznil Nawawi bersama barisan juri, AC Mizal dan Sarimah Ibrahim.
Setiap pasangan pengurus dan artis dinilai secara keseluruhan dengan pecahan 60 peratus untuk pengurus dan 40 peratus untuk artis di bawah seliaan masing-masing.
Saksikan TTMM2 setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria serta boleh distrim menerusi Astro GO dan Sooka.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

