
Penyanyi di bawah naungan Shiha Zikir Empire (SZE), Hazreen Amreena kini tampil dengan single terbaharu berjudul Teruskanlah.
Menurut Hazreen, 29, lagu hasil kerjasama Shiha Zikir Empire dan Sony Music Entertainment Malaysia itu membawa makna serta impak yang lebih dekat dengan dirinya berbanding lagu pertama sebelum ini.
“Lagu ini memang berbeza penceritaannya. Terdahulu saya hanya ada lagu cinta, tapi kali ini ia membawa mesej tentang perjuangan dalam hidup.
“Kita semua ada perjuangan dan pengorbanan tersendiri. Tipulah kalau tak ada rasa penat, rasa nak mengalah, tapi tetap gagah teruskan kehidupan demi orang yang tersayang.
“Ada juga yang kita pendam sendiri supaya tetap nampak kuat di mata orang tersayang padahal jauh di sudut hati, kita tak kuat.
“Jadi, dengan lagu Teruskanlah ini, ia sedikit sebanyak dapat meluahkan apa yang tersimpan dalam hati seseorang yang mungkin tak dapat nak diluahkan sendiri.
“Insya-Allah lagu ini boleh memujuk dan memeluk hati semua yang sedang berhabis habisan berjuang untuk kuat,” katanya.
Hazreen turut menyifatkan kerjasamanya dengan Shiha sebagai satu pengalaman yang cukup bermakna, lebih-lebih lagi lagu Teruskanlah dicipta sepenuhnya oleh Shiha sendiri selaku penulis lirik dan komposer.
“Saya sangat berterima kasih kepada Shiha Zikir Empire sebab mempercayai diri saya dan sentiasa ada untuk membantu.
“Lagu ini bermula dengan pertanyaan Kak Shiha kepada saya, tanya saya mahu lagu apa? Kemudian saya luahkan kepadanya yang saya nak lagu untuk anak sulung atau seorang ‘provider’ yang sentiasa bekerja keras untuk orang tersayang walaupun diri sendiri penat dan tiada tempat untuk meluah.
“Maka dari itu, terhasil lah karya indah ini. Terima kasih Kak Shiha. Lagu ini saya tujukan kepada diri sendiri dan sesiapa yang berjuang dalam hidup mereka.
“Macam saya misalnya, masih berusaha mencapai impian saya dalam bidang seni ini, tipulah kalau tak pernah nak give up, tapi itu bukan alasan untuk saya berhenti di tengah jalan,” katanya lagi.

Shiha Korek Pengalaman Hidup Hazreen
Sementara itu, Shiha berkata, dia terlebih dahulu mengajukan beberapa soalan kepada Hazreen bagi memahami kehendak dan pengalaman hidup penyanyi baharu itu sebelum mula menghasilkan lagu berkenaan.
“Untuk lagu kedua Hazreen, memang saya tanya dia mahu lagu macam mana. Bagi saya, kalau hendak keluarkan lagu artis naungan sendiri, kedua-dua belah pihak perlu rasa gembira dan puas hati.
“Hazreen boleh dapat lagu yang dia mahu, begitu juga dengan saya. Sewaktu menulis lagu ini, saya banyak tanya soalan kepada Hazreen.
“Katanya, dia mahu lagu tentang apa yang dilalui oleh anak sulung sebab kadang-kadang dia sendiri rasa penat tapi perlu kuat untuk berbakti kepada keluarga.
“Saya tanya bagaimana cara dia luah perasaan, menurutnya, ketika sedang sedih dia suka duduk dalam bilik dan menangis, maka dari pengalamannya itu saya pun tulis lirik; “di kamar kusendiri, bertahan untuk berdiri, di saat duniaku runtuh melalui takdir sendiri”.
“Begitu juga dengan jawapan-jawapan lain yang dia beri kepada saya, saya tukar dan olah menjadi lirik lagu ini,” jelasnyaz
Shiha turut berpendapat, lagu Teruskanlah bukan hanya sesuai ditujukan kepada anak sulung, sebaliknya merangkumi semua individu yang memikul tanggungjawab serta berpenat lelah mencari rezeki demi keluarga dan insan tersayang.

Baca Artikel Lain;
Anda mungkin berminat dengan
Shiha Puji Hazreen, Beri Dedikasi
Shiha pada masa sama menyifatkan Hazreen memiliki kemampuan menguasai teknik nyanyian dengan baik.
“Hazreen mempunyai vocal range yang tinggi, saya pun rasa seronok buat lagu untuk dia. Saya boleh cuba macam-macam sebab dia boleh capai note yang lebih daripada saya, boleh rendah dan tinggi.
“Lagu ini memang sesuai dengan suaranya. Apabila sudah melakukan sesuatu mestilah saya mahukan hasil yang terbaik dan memuaskan hati.
“Walaupun saya tegas ketika bekerja, saya puji Hazreen kerana dia adalah seorang ada kemahuan yang tinggi.
“Untuk muzik video (MV) kali ini pula, ia ringkas tapi ada maksud yang tersendiri. Contohnya ada lilin yang hampir terpadam, itu simbolik untuk seseorang yang tetap bersinar untuk orang-orang yang tersayang.
“Begitu juga dengan simbolik lain seperti air laut yang menunjukkan gelombang hidup dan sebagainya,” katanyayang memuji sikap serta disiplin yang ditunjukkan Hazreen sepanjang berada di bawah naungan SZE.
Untuk rekod, lagu Teruskanlah mula boleh didengari menerusi platform digital pilihan pendengar bermula 3 November lalu, manakala MV rasminya juga dilancarkan di YouTube pada tarikh yang sama.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
View this post on Instagram
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!


