
Penyanyi, Stacy tidak menyangka bakal memperoleh markah tertinggi pada konsert minggu pertama Gegar Vaganza Fantasia (GVF), malam tadi.
Menurut Stacy, dia sebenarnya sudah lama menyimpan hasrat untuk menyertai program berkenaan, sekali gus melihat peluang tersebut sebagai ruang untuk kembali aktif selepas melalui episod kehilangan suara.
“Saya pun tak tahu nak luahkan bagaimana. Saya buat semua ini untuk alumni AF, Astro dan para peminat. Mereka sudah lama tidak melihat saya muncul di kaca TV untuk program mingguan.
“Bila sertai program ini, saya memang nak buat persembahan yang all out. Perasaan saya bercampur baur dan teruja. Saya memang simpan impian dan teringin nak sertai GV.
“Ada kalanya, saya tertanya bilakah waktu yang sesuai? Bila masuk program GV, kita bakal dapat banyak pelajaran baru.
“Saya pernah hilang suara. Bila saya berjaya kembalikan suara saya, harapan saya adalah untuk sertai GV. Juri-jurinya sangat membantu,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Pelangi Senja itu berkata demikian ketika ditemui selepas berakhirnya program GVF yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.

Enggan Terlalu Selesa, Mahu Gandakan Usaha
Bagaimanapun, Stacy memaklumkan dia tidak mahu terlalu selesa dengan pencapaian tersebut memandangkan perjalanan di GVF masih panjang.
“Saya agak risau kerana kita ada 11 minggu lagi untuk bertanding. Seperti apa yang Datuk Syafinaz Selamat katakan kepada saya, dia mahu lihat sesuatu yang lain.
“Bukan sekadar buat persembahan, menyanyi dan menari sahaja. Jadi, saya kena gandakan lagi usaha saya. Kesemua peserta hebat-hebat belaka,” kongsinya.
Dalam pada itu, Stacy turut berkongsi reaksinya sekiranya suaminya yang juga penyanyi, Akim Ahmad, turut diserap masuk sebagai peserta GVF.
Menurut Stacy, dia pastinya teruja dengan kemungkinan tersebut, namun mengakui situasi itu mungkin sedikit mencabar memandangkan mereka berdua perlu bersaing di pentas yang sama.
“Saya pun tak tahu bagaimana kami nak berbincang hal ini. Akim sepatutnya tolong saya. Takkan kita nak bermusuh pula? Nak tag team pun tak boleh.
“Sebenarnya saya pun agak teruja juga bila nampak wajah Akim di skrin. Perkara ini dimaklumkan kepada Akim pun pada saat akhir.
“Proses pihak produksi nak memujuk Akim pun agak susah walaupun hanya untuk pencalonan sahaja. Mungkin dia terbuka hati bila dapat tahu tidak semua juara AF dapat bertanding.
“Akim sama seperti saya. Dia suka belajar perkara baharu. Pentas seperti ini mengajar kita untuk mengatur persembahan terbaik. Saya pun teruja jika Akim dapat sertai GVF,” kongsinya lagi.

Baca Artikel Lain;
Anda mungkin berminat dengan
Akui Gugup Jika Akim Jadi Pesaing
Mengulas lanjut, Stacy mengakui dia dan Akim masing-masing mempunyai semangat kompetitif yang tinggi, sekali gus menjadi dorongan buat mereka untuk sentiasa memberikan persembahan terbaik setiap kali berada di pentas.
“Saya sudah tentu saya akan bertambah gugup dan risau. Kita pun tahu kemampuan Akim dan apa yang dia boleh tunjukkan di atas pentas. Pencapaiannya juga sangat luar biasa.
“Saya kagum bila dia setuju untuk terlibat dalam proses ini. Dia boleh sahaja menolak tawaran ini. Dengan apa yang sudah dia lalui, Akim memang seorang penghibur yang hebat.
“Walaupun kami suami isteri, kami sangat kompetatif antara satu sama lain. Tak kisah persembahan kecil atau besar kami sentiasa beri pandangan. Saya harap segalanya dipermudahkan,” akhirinya.
Terdahulu, Stacy berjaya meraih markah tertinggi pada konsert minggu pertama GVF sekali gus mengetepikan cabaran daripada lapan peserta lain.
Persembahan mantap menerusi kualiti vokal serta tarian lincah turut melayakkan Stacy memenangi Anugerah Bintang Paling Power dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,500.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!


