
Model Hafizzi Mohamed tidak menafikan dirinya turut menerima kecaman sepanjang menyertai pertandingan Mr International Malaysia 2026 yang berlangsung di Thailand, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Hafizzi memilih untuk terus kuat dan memberikan persembahan terbaik demi membawa nama Malaysia di mata dunia.
Menurutnya, dia tidak menghiraukan komen-komen negatif apabila diberi peluang besar untuk mewakili negara.


“Kecaman yang diterima memang sangat banyak. Namun apabila saya sudah berada di Thailand untuk bertanding, saya perlu buat sehabis baik.
“Saya tidak mahu menunjukkan seolah-olah saya malu atau tidak bersedia, kerana saya membawa nama Malaysia.
“Saya juga tak nak orang luar memandang negara kita dengan kosong,” katanya kepada MH.
Hafizzi berkata demikian ketika ditemui selepas acara Grand Finale Miss Universe Malaysia 2026 yang berlangsung di HGH Convention Centre, Sentul, baru-baru ini.
Mahu Malaysia Dipandang Tinggi
Tambah Hafizzi, antara misi utamanya ketika menyertai pertandingan tersebut adalah untuk memperkenalkan Malaysia di pentas dunia.


“Sebab itu orang kata saya kelihatan sangat yakin di atas pentas. Hakikatnya, saya hanya mahu melakukan yang terbaik dan memastikan Malaysia dipandang tinggi oleh negara lain.
“Alhamdulillah, apa yang saya lakukan mendapat perhatian dan mereka mula melihat kemampuan kita,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Hafizzi turut mengakui dia tidak membaca komen negatif yang diterima, sebaliknya menapis perkara tersebut demi menjaga kesihatan mental.
Malah, dia menegaskan segala usaha yang dilakukan adalah hasil pengorbanannya sendiri, termasuk dari segi kewangan, masa dan disiplin diri.
“Ketika berada di sana, saya memang tidak membaca kebanyakan komen kerana ia hanya membawa kepada perkara negatif dan boleh menyakitkan hati.
“Jika ada komen yang keterlaluan di Instagram, saya akan padam atau sekat. Saya tidak mahu perkara itu memberi tekanan kepada diri sendiri.
“Saya yang berusaha, saya juga yang mengeluarkan duit sendiri. Saya berkorban dari segi masa, menjaga pemakanan, membentuk badan dan sebagainya.
“Jadi siapa mereka untuk hukum saya? Apa yang saya lakukan Sekaran ini, saya akan terus buat. Tidak kira apa orang kata,” jelasnya.
Terbuka Jika Diberi Peluang Berlakon
Dalam perkembangan lain, Hafizzi tidak menolak sekiranya diberi peluang untuk menceburi bidang lakonan pada masa akan datang.

Anda mungkin berminat dengan

“Saya belum pernah berlakon, namun saya terbuka untuk mencuba sekiranya diberikan peluang.
“Tetapi, saya mahu pengarah menilai sendiri sama ada saya mampu atau sesuai untuk berlakon.
“Saya lihat tidak semua model mempunyai aura lakonan. Ada yang menyerlah, dan ada juga yang sebaliknya.
“Jadi, saya hanya mahu dinilai secara jujur, itu sahaja,” katanya.
Terdahulu, Hafizzi merupakan wakil Malaysia dalam sebuah acara berprestij, Mr International 2026.
Bagaimanapun, perjalanannya terhenti di peringkat ‘preliminary competition’ yang berlangsung di Bangkok, Thailand.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

