
Pelakon Anna Jobling akui berdebar menantikan reaksi peminat menerusi drama terbaharunya, Yes! Captain Zul Aaryan iaitu sebuah naskhah adaptasi novel popular karya Wnfhanna yang akan disiarkan di TV3.
Drama arahan Nizam Zakaria sebanyak 30 episod itu menggandingkan Anna bersama pelakon Jazmy Juma sebagai teraju utama.
Drama ini dijangka menjadi antara naskhah yang dinanti-nantikan apabila menemui penonton pada Julai depan.
Lebih menarik, novel berkenaan terlebih dahulu mencipta fenomena di platform Wattpad apabila merekodkan lebih 2 juta bacaan.
Malah, versi cetakannya turut menerima sambutan luar biasa.

Tak Mahu Letak Harapan, Gemar Genre Romantik Komedi
Menurut Anna, dia tidak pernah meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap setiap karya yang dijayakan kerana tidak mahu berdepan rasa kecewa sekiranya hasilnya nanti tidak seperti yang diharapkan.
Dalam drama tersebut, Anna atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman mendukung watak sebagai Zara Andrea, yang digambarkan memiliki pakej lengkap iaitu cantik, bijak, tegas, manja dan penyayang.
“Sebabnya bagi saya, kalau letakkan harapan yang tinggi, sekiranya ia gagal capai apa yang saya nak itu, sudah pasti kita akan rasa sedih atau kecewa.
“Tapi sekiranya kita letak harapan yang biasa saja dan akhirnya dapat lebih daripada apa yang dijangka, saya percaya kita akan rasa gembira.
“Namun dalam kebanyakan drama, filem atau apa pun yang saya lakukan, hanya buat yang terbaik dan berdoa saja,” katanya.
Anna bagaimanapun teruja pada masa sama kerana genre drama berkenaan yang hadir tepat pada waktunya walaupun sebelum ini memilih untuk berehat seketika selepas terlibat dengan penggambaran secara berterusan termasuk di Indonesia.
“Apabila tawaran ini datang, saya tak ambil masa yang lama dan terus setuju kerana sudah lama tak berlakon drama genre ‘romantic comedy’.
“Saya suka kerana ia menceriakan selain mungkin juga sudah terbiasa dengan genre ini meski tidaklah terlalu banyak berlakon drama yang sedemikian.
“Sebelum ini saya ada buat beberapa drama yang hampir sama genrenya, tapi sudah lama tak buat kerana kerap berlakon di dalam naskhah yang ‘heavy’ dan seram.
“Jadi saya rasa mengapa tidak untuk sekali lagi jayakan sesuatu seperti drama ini,” katanya lagi.
Baca Artikel Lain;

Novel Sudah Dibaca, Ulas Gandingan Hero
Anna juga tidak menafikan, novel Yes! Captain Zul Aaryan mempunyai kelompok peminat yang sangat besar dan dia sendiri pernah membaca karya berkenaan.
”Apabila menerima tawaran ini, saya terus baca dan cuba habiskan kerana mahu faham watak memandangkan ‘fan-base’ bagi versi novelnya cukup besar.
“Saya cuba dan kalau boleh, tak mahu kecewakan mereka yang sudah membaca novel ini. Bila bacanya pun saya tersenyum sendiri dan cuba saya terjemahkan menerusi keserasian bersama rakan pelakon lain,” katanya.
Mengulas mengenai gandingannya bersama Jazmy Juma pula, Anna menjelaskan dia terlebih dulu meneliti karya-karya lakonan bekas peserta Hero Remaja 2020 itu bagi memahami karakter demi membina kerjasama yang baik.
“Ada drama lakonan Jazmy yang sukses dan saya ada menontonnya juga. Alhamdulillah masa di lokasi, kami dapat buat apa yang diinginkan pengarah.
Anda mungkin berminat dengan
“Saya harap drama ini akan jadi pilihan peminat apabila ia ditanyangkan nanti Insya-Allah,” katanya.
Selain Anna dan Jazmy, drama yang turut menjalani penggambaran di beberapa lokasi menarik di Langkawi ini juga dibarisi oleh Natasha Sass, Nafiz Muaz, Daniel Fong dan ramai lagi.
Yes! Captain Zul Aaryan berkisar tentang Zul Aaryan (Jazmy Juma), seorang juruterbang yang juga CEO.
Di sebalik imej profesional dan tegas, Zul sebenarnya membawa luka lama selepas dikhianati oleh bekas kekasih dan pengalaman pahit itu membuatkan dia memilih untuk menutup pintu hati untuk mencari cinta.
Namun, hidupnya mulai berubah apabila dia bertemu Zara Andrea (Anna Jobling) seorang pelatih praktikal.
Pertemuan pertama mereka berlaku dalam suasana tegang, sekali gus membuka ruang kepada hubungan yang penuh pertelingkahan, salah faham dan pertembungan personaliti.
Ketika hubungan mereka terus diuji dengan pelbagai konflik, tekanan keluarga akhirnya menyatukan mereka berdua di dalam satu ikatan yang tidak pernah mereka jangkakan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
View this post on Instagram
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

