
Pelawak dan pengacara, Jihan Muse tampil memohon maaf sekiranya ada pihak yang kurang selesa dengan gurauannya bersama penyanyi, Azmi Saat ketika mereka sama-sama menjurikan pentas akhir Kilauan Emas Selebriti, Sabtu lalu.
Menurut Jihan, dia mengakui kemungkinan ada percakapan yang terlepas tanpa disedari ketika mengendalikan program berkenaan dalam suasana yang cukup santai dan spontan.
Katanya lagi, meskipun hubungannya bersama Azmi sememangnya akrab, namun dia tetap memahami sekiranya ada pihak lain yang berasa kurang selesa dengan gurauan berkenaan.

“Mungkin saya ada terlepas cakap. Jika perkara itu terdengar salah, memang sepatutnya saya memohon maaf.
“Mungkin bila sudah terlalu kasual, kadang-kadang ada perkara yang terlepas dan tidak sepatutnya keluar dari mikrofon.
“Mungkin ada khilaf saya di situ. Lagi pun, saya hanyalah manusia biasa. Yang penting ketika ini adalah perasaan Azmi. Jika ada yang mengguris, saya minta maaf,” katanya kepada MH.
Azmi Tidak Ambil Hati Gurauan Jihan
Sementara itu, Azmi menjelaskan dia tidak tersinggung dengan gurauan tersebut, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan rakan-rakan terdekat.

“Bagi saya pula, saya tidak tersinggung lebih-lebih lagi bila melibatkan orang-orang terdekat. Walaupun gurauan itu terdengar kasar, saya faham itu adalah cara mereka rapat dengan kita.
“Saya tak pernah simpan hal itu di dalam hati. Dalam masa sama, saya akui bila gurauan bersama rakan-rakan dan ia terbawa-bawa sampai ke televisyen, akan ada pihak yang rasa tidak selesa.
“Lagi pun kami saling memohon maaf. Ada kalanya saya terlebih melayan sehingga mereka terlebih bergurau,” kongsinya.
Jihan dan Azmi ditemui ketika sidang media pentas akhir Kilauan Emas Selebriti, pada Sabtu.
Jihan Akui Perlu Lebih Jaga Sensitiviti
Dalam masa sama, Jihan turut mengakui dirinya perlu lebih menjaga sensitiviti ketika mengendalikan program secara siaran langsung bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan penonton terhadap gurauan yang disampaikan.

Anda mungkin berminat dengan
“Saya mohon maaf di atas hal sensitif ini. Sebagai manusia, saya sedar yang saya kena jaga sensitiviti itu. Jadi, saya mohon maaf.
“Jika ia mengguris hati orang yang mendengar walaupun saya dan Azmi merupakan kawan baik, saya minta maaf.
“Ada kalanya kita pun tak perasan apa yang kita guraukan. Saya juga perlu perbaiki aspek itu. Saya bukanlah sempurna. Ada kalanya terlepas juga,” akhirinya.
Baru-baru ini, Jihan dikritik hebat oleh netizen disebabkan gurauannya bersama Azmi yang juga orang kelainan upaya (OKU) penglihatan, yang dikatakan agak kasar dan keterlaluan oleh segelintir penonton di media sosial.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

