
Pemain bass kumpulan Exists, Musa menjelaskan ketiadaan vokalis asal kumpulan itu, Mamat, dalam Konsert Slam x Exists ‘The Greatest Hits’ adalah selari dengan perancangan yang telah ditetapkan sejak dua konsert terdahulu.
Menurut Musa, Mamat ibarat ‘senjata rahsia’ buat Exists yang akan diketengahkan menerusi konsert atau projek lain pada masa akan datang, sekali gus memberikan kelainan kepada peminat.

“Sebelum ini, Slam dan Exists sudah pernah mengadakan konsert di Kuala Lumpur dan Singapura. Di kedua-dua konsert itu, Mamat memang tiada. Jadi, kita teruskan dengan perancangan yang sama.
“Ketika ini, kita belum tahu idea yang akan kita bawakan di konsert nanti. Kita lihat Mamat ini sebagai peluru yang kita simpan.
“Kalau bermain kad, kita tidak keluarkan semua kad yang ada. Mungkin di projek yang lain nanti, kita akan adakan variasi persembahan yang berbeza agar peminat tahu Exists akan sentiasa ada pembaharuan,” katanya kepada MH.
Musa berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Slam x Exists ‘The Greatest Hits’ yang berlangsung di A Quite Place, Kuala Lumpur pada Khamis.
Mamat Faham Perancangan Exists
Tambah Musa, Mamat juga memahami perancangan tersebut dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk tidak terlibat dalam konsert berkenaan.

“Mamat memang faham dengan situasi seperti ini. Jika persembahan-persembahan lain, kita memang akan libatkan Mamat.
“Malah, dalam waktu terdekat, Exists ada banyak persembahan jamuan makan malam bersama Mamat,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, penyanyi Ezad bakal menggalas tanggungjawab sebagai vokalis utama Exists menerusi Konsert Slam x Exists ‘The Greatest Hits’ yang dijadualkan berlangsung pada 1 Mei 2027.
Menurut Musa, Ezad akan menyampaikan lagu-lagu popular Exists yang pernah dipopularkan Mamat menerusi dua album terawal kumpulan itu, memandangkan dia sudah cukup biasa membawakan karya berkenaan.

Ezad Bawakan Lagu Era Mamat
“Kita akan tetap bawakan lagu-lagu yang dinyanyikan oleh Mamat. Selama ini, Ezad memang sudah biasa menyanyikan lagu-lagu di dalam album pertama dan kedua Exists.
“Kita juga ada buat rakaman versi Ezad. Bila kita buat konsert gabungan bersama band lain, kita tidak mahu ada terlalu banyak variasi.
Anda mungkin berminat dengan
“Kita tak nak hilang konsep kerana ia sangat penting. Bila bawakan konsep ‘The Greatest Hits’ ini, kita akan bawakan versi Ezad.
“Jika konsert ini sukses, sudah tentu akan ada permintaan yang seterusnya. Mungkin watu itu, kita akan bawakan Mamat pula,” akhirinya.
Terdahulu, Konsert Slam x Exists ‘The Greatest Hits’ bakal berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 1 Mei 2027.
Konsert gabungan Slam dan Exists itu bakal menampilkan deretan lagu popular kedua-dua kumpulan secara penuh menerusi konsep ‘The Greatest Hits’, sekali gus memberi peluang kepada peminat mengimbau kembali karya-karya malar segar mereka.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

sekarang!

