
Selepas hampir tiga minggu menampilkan persembahan yang memukau audiens, pementasan teater Puteri Gunung Ledang The Musical 2026 (PGLM) akhirnya melabuhkan tirai secara rasmi pada 17 November lalu.
Individu kuat di sebalik pementasannya, Puan Seri Tiara Jacquelina mengakui tempoh persiapan dan pementasan yang berlangsung selama berbulan-bulan itu dirasakan begitu singkat, namun sarat dengan kenangan bermakna.
Malah, Tiara turut meluahkan rasa teruja melihat sambutan penonton sepanjang pementasan berlangsung, khususnya daripada kalangan generasi baharu yang mula mengenali karya berkenaan.

“Saya rasa rindu kerana sekelip mata sahaja segalanya berakhir. Sangat bersyukur kerana selepas 20 tahun, pementasan PGLM menerima sambutan yang hangat daripada penonton yang rindu dengan karya ini.
“Malah, kita juga turut menerima penonton-penonton baharu yang ghairah untuk mencari tahu tentang kisah Puteri Gunung Ledang dan kisah-kisah nusantara,” katanya kepada MH.
Tiara berkata demikian ketika ditemui di acara Nona Gala Awards 2026, baru-baru ini.

Terharu Lihat Anak Mengambil Alih Watak Puteri
Mengulas mengenai momen paling berbekas sepanjang pementasan tersebut, Tiara mengakui detik menyaksikan anaknya, Mila Mohsin mengambil alih watak Puteri Gunung Ledang merupakan pengalaman yang cukup istimewa buat dirinya.
“Secara peribadi, momen yang saya rasakan istimewa sudah tentu disaat melihat anak saya mengambil alih tugas sebagai salah seorang pemeran yang memainkan watak Puteri Gunung Ledang.
“Saya sebenarnya betul-betul tidak bersedia untuk momen itu. Bila melihat dia memakai kostum Puteri Gunung Ledang dan mengenakan solekan, dia memang menjadi seorang Puteri,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Tiara turut meluahkan rasa puas hati terhadap kualiti lakonan yang ditampilkan oleh barisan pelakon sepanjang pementasan berlangsung.

Menurutnya, semua pelakon berjaya memberikan persembahan yang melangkaui jangkaannya, selain turut memuji komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh keseluruhan tenaga produksi.
“Saya sangat berpuas hati kualiti yang ditunjukkan oleh kedua-kedua Puteri Gunung Ledang. Mereka memberikan lebih daripada apa yang saya jangkakan.
“Malah, semua pelakon-pelakon lain juga mereka sentiasa memberikan kualiti lakonan yang terbaik. Mereka telah berikan komitmen 1000 peratus.
Anda mungkin berminat dengan
“Saya tak boleh nak minta komitmen sebegitu daripada mana-mana pelakon lain. Mereka sangat hebat,” katanya lagi.
PGLM Kembali ke Kuala Lumpur Tahun Depan
Ditanya sama ada peminat perlu menunggu sehingga dua dekad lagi untuk menyaksikan pementasan PGLM seterusnya, Tiara mendedahkan pihaknya merancang untuk membawa karya berkenaan kembali ke Kuala Lumpur pada tahun hadapan.

“Tidak. Insya-Allah tahun hadapan, kami ada perancangan untuk membawa pementasan ini semula ke Kuala Lumpur,” akhirinya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

sekarang!

