
Pelakon, Shiqin Kamal meluahkan rasa syukur apabila hasratnya untuk melangsungkan majlis pernikahan bersama pilihan hati, Mika Irfan Nojey pada hari lahirnya, pada Rabu, akhirnya tercapai.
Shiqin berkata, dia mahu menjadikan tarikh hari lahirnya kembali bermakna selepas sekian lama berasa kosong susulan pemergian ibu tercinta pada 2014.
“Alhamdulillah, kami dapat mengadakan majlis akad nikah ini pada hari lahir saya. Kita sudah berbincang dengan pihak perancang perkahwinan sejak April lagi. Syukur ada kekosongan pada tarikh hari ini.
“Mengapa saya memilih tarikh ini? Ketika ibu saya masih ada, dia akan jadi orang pertama yang berikan ucapan. Selepas ibu saya meninggal pada 2014, rutin itu tiada lagi.
“Saya pula tiada ayah sejak kecil. Kehilangan itu memang terasa. Sejak itu, saya memang tak mahu lagi sambut hari lahir. Ia seperti tiada makna.
“Kemudian saya fikir, kalau saya kahwin, saya nak ia berlangsung pada tarikh hari lahir saya. Saya nak cipta makna baharu. Malah, saya bertunang pun pada hari lahir suami. Barulah adil,” katanya kepada MH.
Pelakon filem Lagenda Budak Setan itu berkata demikian ketika ditemui di majlis akad nikah yang berlangsung di Glamhall, Damansara Perdana pada Rabu.
Set Memanah Jadi Hantaran, Jadi Lambang Cinta
Dalam pada itu, Shiqin turut menjelaskan pemilihan set memanah sebagai hantaran perkahwinan mereka dibuat kerana ia merupakan antara minat yang dikongsi bersama suaminya.
“Suami ialah jurulatih memanah dan berkuda. Malah, dia juga seorang atlet negara. Bila kami putuskan untuk berkahwin, saya tak mahu hantaran-hantaran seperti beg tangan, baju atau kasut.
“Jadi, saya bagitahu suami, marilah kita beli sepasang set memanah baharu untuk kegunaan kita berdua. Bila kita sertai pertandingan, kita guna set memanah itu.
“Kita boleh tunjukkan kepada orang, inilah tanda cinta kami berdua. Kita boleh bawa tanda cinta kita ini ke mana-mana sahaja,” kongsinya lagi.
Meskipun mempunyai perbezaan usia yang agak ketara, Shiqin menyifatkan perkara itu bukan penghalang, malah menjadi kelebihan kerana mereka saling melengkapi dalam kehidupan berumah tangga.
“Perbezaan kita ini yang buat kita saling melengkapi. Walaupun dari segi usia, saya lebih berumur dan matang dalam kehidupan, tapi dari segi cinta dan kasih sayang, dia lebih matang berbanding saya,” katanya lagi.

Baca Artikel Lain;
Doa Di Mekah Jadi Jawapan
Shiqin turut menyifatkan perkahwinan tersebut sebagai jawapan kepada doanya ketika menunaikan umrah, apabila memohon petunjuk agar urusan mereka dipermudahkan sekiranya Mika Irfan adalah jodohnya.
“Bila menginjak usia 35 tahun, ada kalanya kita rasa ragu-ragu. Bila saya pergi ke Mekah, saya mohon doa dan kepastian, jika dialah orangnya, permudahkanlah.
“Alhamdulillah, selepas pulang daripada umrah, saya bertanya kepada Irfan sama ada di ingin kahwini saya atau sebaliknya dan dia pun bersetuju. Kami memang tiada proses melamar.
Anda mungkin berminat dengan
“Sebenarnya, Irfan sudah ajak saya jalani proses taaruf tapi saya asyik bertangguh. Saya nak tahu dulu pemikirannya macam mana kerana usianya masih muda.
“Bila lama berborak, barulah saya rasa kami serasi,” akhirinya.
Pasangan sama cantik sama padan itu dinikahkan oleh abang sulung Shiqin sendiri, Firozdeen Mohd Kamal dengan mas kahwin sebanyak dua dinar emas.
Majlis resepsi mereka pula dijadualkan berlangsung pada 29 November ini.
Majlis akad nikah Shiqin dan Mika berlangsung secara ringkas namun penuh bermakna, dengan kehadiran kira-kira 100 tetamu yang terdiri daripada keluarga serta sahabat handai terdekat kedua-dua belah pihak.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
View this post on Instagram

sekarang!

