
Penyanyi dan komposer, Akim Ahmad mengakui teruja apabila persembahannya pada konsert minggu pertama Gegar Vaganza Fantasia (GVF) berjalan lancar.
Menurut Akim, persaingan di GVF menuntut kebijaksanaan setiap peserta dalam merancang serta mengatur strategi persembahan bagi memastikan setiap penampilan mampu memberikan impak tersendiri.

“Saya rasa lega bila selesai membuat persembahan. Bila nak naik ke pentas, saya rasa gemuruh juga. Ini satu pengalaman yang menyeronokkan dan mencabar limitasi saya.
“GVF merupakan pementasan yang memerlukan konsentrasi yang tinggi. Kini, saya sudah tahu cabarannya.
“Diharapkan pada minggu kedua saya di sini nanti, dapat jayakan persembahan dengan lebih baik,” katanya kepada MH.
Bintang Akademi Fantasia musim ke-7 (AF7) itu berkata demikian ketika ditemui selepas tamat konsert minggu ketiga GVF, pada Ahad.
Saling Beri Teguran, Anggap Pengalaman Positif
Dalam pada itu, Akim menyifatkan peluang bersaing bersama isterinya yang juga penyanyi, Stacy sebagai satu pengalaman cukup menyeronokkan.
Malah, mereka turut mengambil kesempatan untuk saling berkongsi pandangan serta memberikan teguran bagi memperbaiki mutu persembahan masing-masing.

“Saya rasa sangat seronok, masa sesi sound check, ketika saya menyanyi, Stacy akan memberikan komen dan teguran. Jika ada ruang untuk penambahbaikkan, dia akan kongsi pandangan.
“Ia ibarat cermin yang sudah lama menantikan peluang untuk bercakap dengan kita. Selalunya, bila kita lihat cermin, kita akan berangan. Kali ini, ada teguran. Ia merupakan sesuatu yang positif,” katanyq.
Mengulas mengenai keputusan menyertai GVF yang kurang dipersetujui segelintir pihak, Akim bagaimanapun melihat penyertaannya dalam program berkenaan sebagai peluang terbaik untuk meningkatkan kemahiran dirinya sebagai seorang penghibur.

“GV ini merupakan pertandingan yang sudah punyai reputasi besar. Bila saya dengar nasihat Tok Ram, saya perhalusi kata-kata beliau.
“Dalam program, aspek paling utama adalah intelektual. Perkara itu sedikit sebanyak memberikan cabaran kepada saya untuk ikut apa kehendak juri.
“Para peserta akan bersama Tok Ram dari hari Jumaat hingga Ahad. Kadang-kadang, Tok Ram akan ubah sususan muzik itu sesuka hatinya sahaja. Itulah cabarang yang perlu dilalui para peserta,” kongsinya lagi.
Mahu Cipta Memori Istimewa Buat Anak-Anak
Berkongsi lanjut, Akim berkata peluang untuk dinilai oleh individu berpengalaman dalam bidang akademik dan seni muzik merupakan satu proses pembelajaran yang cukup bermakna buat perkembangan kerjaya seninya.
Malah, dia juga tidak mempunyai masalah untuk menerima sebarang kritikan daripada barisan juri kerana menganggap teguran tersebut mampu membantunya menjadi penghibur yang lebih baik.
“Saya tiada masalah untuk menerima kritikan juri. Malah, saya lagi suka. Bila kita dijurikan oleh profesor adjung dan pensyarah, ini proses yang sangat bagus untuk perkembangan kerjaya seni saya.
Anda mungkin berminat dengan
“Dalam masa saya, saya sangat teruja bagi pihak anak-anak saya. Mereka suka melihat saya di televisyen.
“Saya nak beri mereka memori supaya mereka tahu inilah pekerjaan ibu bapa mereka,” akhirinya.
Terdahulu, Akim menjadi salah seorang daripada alumni AF yang berjaya diserap masuk ke GVF hasil undian peminat.
Pada konsert minggu ketiga itu, Akim menduduki tangga ketiga dengan markah sebanyak 59.67 peratus.
GVF berlangsung selama 11 minggu secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam bermula 9 November, setiap Sabtu pada pukul 9 malam menerusi Astro Ria (104).
Program berkenaan turut boleh distrim menerusi On Demand, Astro GO dan Sooka.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

sekarang!

