
Pelakon remaja Hollywood yang dikenali menerusi filem hits Godzilla vs Kong, Kaylee Hottle, dilaporkan meninggal dunia pada usia 18 tahun selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya di Frederick, Maryland.
Berita pemergiannya disahkan sendiri oleh bapanya, Joshua, menerusi satu video yang dimuat naik di Facebook menggunakan bahasa isyarat Amerika (ASL), memandangkan keluarganya merupakan komuniti Orang Kelakuan Kurang Upaya (OKU) pendengaran.
Memetik laporan The Guardian, Hottle maut dalam nahas yang berlaku di lokasi kejadian pada awal pagi Selasa (waktu tempatan).
Malah berita duka itu turut dikongsikan oleh Texas School for the Deaf, institusi tempat mendiang menuntut ilmu.

“Hati kami bersama keluarga, rakan-rakan, rakan sekelas dan semua yang mengenali serta menyayanginya dalam waktu yang amat sukar ini,” menurut kenyataan terbabit.
Tinggalkan Impak Besar Menerusi Watak Jia
Hottle mula mencipta nama menerusi wataknya sebagai Jia dalam filem Godzilla vs Kong, membawakan karakter seorang anak yatim pekak yang mempunyai hubungan istimewa dengan Kong.
Dalam filem tersebut, mendiang bergandingan dengan pelakon Rebecca Hall yang melakonkan watak sebagai ibu angkatnya.
Susulan berita pemergiannya, Hall meluahkan rasa sedih menerusi Instagram.
View this post on Instagram
“Sedih menerima berita ini. Hati saya bersama keluarga awak. Awak akan dirindui, Kaylee,” tulisnya.
Difahamkan, Hall bersama seorang lagi pelakon, Alexander Skarsgård, turut mempelajari bahasa isyarat bagi memudahkan komunikasi sepanjang penggambaran bersama-sama.
Perjuangkan Lebih Ramai Bakat Pekak Dalam Industri Hiburan
Dalam beberapa temu bual sebelum ini, Hottle pernah berkongsi harapannya untuk melihat lebih ramai individu pekak diberi peluang dalam industri hiburan.
“Saya rasa ada yang melihat bahasa isyarat dan pekak sebagai halangan atau keistimewaan, tetapi ia hanyalah satu bahasa.
“Kami boleh melakukan banyak perkara, cuma tidak boleh mendengar. Kita perlukan lebih ramai pelakon dan kru pekak dalam industri supaya ia dapat dinormalisasikan,” katanya.
Hottle kemudian kembali membintangi sekuel Godzilla x Kong: The New Empire yang ditayangkan pada 2024.
Penampilannya dalam filem itu turut melayakkan dirinya menerima pencalonan di Anugerah Saturn bagi kategori Pelakon Muda.
Anda mungkin berminat dengan
Selain Hall, pelakon Millie Bobby Brown turut menzahirkan rasa sedih menerusi Instagram.

“Saya sangat terkesan dengan berita ini. Awak akan dirindui, Kaylee,” tulisnya.
Selain aktif berlakon, mendiang juga pernah muncul dalam beberapa iklan komersial serta satu episod siri televisyen, Magnum PI.
Sumber: The Guardian
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

