
Penyanyi dan komposer Indonesia, Isyana Sarasvati meluahkan rasa syukur apabila berpeluang bekerjasama dengan sahabat baiknya yang juga penyanyi, Allahyarham Vidi Aldiano menerusi lagu Frenemy yang dimuatkan dalam album terbaharunya, Eklektiko.
Menurut Isyana, karya tersebut membawa makna mendalam buat dirinya kerana terhasil daripada persahabatan erat serta proses kreatif yang dikongsi bersama Allahyarham pada tahun 2024.

“Vidi Aldiano itu merupakan salah seorang sahabat terbaik saya. Saya sangat bersyukur kerana di dalam album Eklektiko ini, saya mendapat sentuhan dan rasa daripada seorang Vidi Aldiano.
“Album ini memberikan makna yang sangat peribadi bagi diri saya. Saya akan sentiasa kenang momen ini. Lagu ini kami ciptakan bersama pada tahun 2024.
“Semoga karya ini mampu diabadikan selamanya,” katanya kepada MH.
Isyana berkata demikian ketika ditemui pada sidang media konsert Isyana Sarasvati Live In Kuala Lumpur (Asia Tour 2026) yang berlangsung di CitizenM Hotel, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Semangat Juang Vidi Aldiano Jadi Inspirasi
Dalam pada itu, Isyana turut mengagumi semangat juang yang sentiasa ditonjolkan Allahyarham Vidi meskipun ketika itu sedang berdepan masalah kesihatan.
Menurutnya, Allahyarham tidak pernah memperlihatkan kesakitan yang ditanggung, sebaliknya sentiasa hadir dengan aura positif dan kesungguhan yang luar biasa.

“Vidi itu selalu menunjukkan semangat yang sangat besar. Beliau tidak pernah memperlihatkan kondisinya yang sedang sakit.
“Kami semua amat menghargai semangatnya yang sangat positif dan selalu berjuang. Beliau sentiasa punyai kesungguhan dalam setiap perkara yang dilakukannya.
“Semangat itu jugalah yang menginspirasikan diri saya,” kongsinya lagi.
Terdahulu, Allahyarham Vidi menghembuskan nafas terakhir pada 7 Mac lalu selepas sekian lama berjuang melawan penyakit kanser buah pinggang.
Muzik Identiti Diri, Teruja Kembali Ke KL
Sementara itu, Isyana turut berkongsi mengenai perjalanan kerjaya seninya yang kini semakin cenderung ke arah genre metal dan progressive rock.
Jelas penyanyi berusia 33 tahun itu, muzik bukan sekadar kerjaya atau medium hiburan semata-mata, sebaliknya menjadi ruang paling penting untuk beliau mengekspresikan diri serta menampilkan identiti sebenar sebagai seorang pengkarya.

“Sejak kecil lagi, saya percaya muzik merupakan medium terbaik untuk berekspressi dan menjadi jujur kepada diri sendiri.
“Muzik juga merupakan satu-satunya hal yang mampu menunjukkan warna diri saya yang sebenar. Tiada tempat lain untuk saya mampu menjadi jujur dan menunjukkan diri saya apa adanya.
“Saya tidak melihat muzik itu hanya sebagai sebuah pekerjaan untuk menyenangkan orang lain. Muzik merupakan cara saya memandang kehidupan.
“Dalam hidup ini, rasa sangat sayang jika kita menjalankan mimpi orang lain. Prinsip yang selalu saya pegang adalah untuk sentiasa menjadi diri sendiri dan buat sahaja apa yang kita suka,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Isyana mengakui teruja untuk kembali mengadakan konsert di Kuala Lumpur selepas kali terakhir membuat persembahan di Malaysia pada tahun 2023.
Anda mungkin berminat dengan
Katanya, kemunculan kali ini cukup istimewa kerana beliau bakal mempersembahkan evolusi muzik terbaharu yang jauh berbeza berbanding karya-karya terdahulu.

“Saya sangat gembira apabila dapat kembali ke Malaysia selepas kali terakhir saya membuat persembahan di sini pada 2023. Kini saya kembali membawakan konsert tunggal.
“Kali terakhir saya ke sini, saya bawakan album ketiga kini, saya baru melancarkan album kelima. Saya tak sabar untuk berjumpa dengan peminat dan penikmat muzik saya di Malaysia.
“Mungkin 11 tahu lalu, ramai yang mengenali saya menerusi lagu Tetap Dalam Jiwa. Kini, saya sudah beralih ke muzik metal dan progressive rock. Saya tak sabar nak perkenalkan karya-karya saya yang terbaharu,” akhirinya.
Konsert Isyana Sarasvati Live In Kuala Lumpur (Asia Tour 2026) bakal berlangsung pada 17 Julai ini di Zepp KL, Kuala Lumpur.
Tiket telah mula dijual pada harga RM232 (CAT 1), RM176 (CAT 2), RM288 (CAT 3), RM180 (CAT 4) dan RM4,800 bagi VIP Box.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

