
Penyanyi, Ara Johari akui lega apabila persembahannya pada minggu pertama Gegar Vaganza Fantasia (GVF) menerima respons positif daripada pihak juri dan penonton.
Bagaimanapun, Ara tidak menafikan cabaran lebih besar bakal menantinya pada minggu hadapan apabila perlu membawakan lagu milik penyanyi lain, sekali gus menuntut dirinya keluar daripada zon selesa.
Menurut Ara, persembahan pada minggu pertama itu belum boleh dijadikan ukuran sebenar terhadap kemampuannya memandangkan dia hanya membawakan lagu sendiri.

“Alhamdulillah, persembahan minggu pertama sudah selesai. Saya sudah cuba memberikan persembahan yang terbaik. Pada saya, minggu ini, bukanlah penilaian yang sebenar.
“Bila membawakan lagu sendiri, ia tidak adil untuk membuat penilaian secara menyeluruh. Mungkin kena tunggu persembahan saya pada minggu hadapan.
“Saya memang sangat gemuruh kerana lagu Warkah Untukku ini merupakan lagu paling susah yang saya miliki. Lagu ini memerlukan aspek teknikal yang sangat tinggi.
“Nak mengawal suara itu amat susah. Alhamdulillah suara saya pada malam tadi memberikan kerjasama,” katanya kepada MH.
Bintang Akademi Fantasia 2016 (AF2016) itu berkata demikian ketika ditemui selepas tamat konsert minggu ke-3 GVF yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.
Akui Rasa Kerdil, Hormati Pandangan Netizen
Dalam pada itu, Ara menyedari terdapat segelintir pihak yang kurang bersetuju dengan penyertaannya dalam GVF kerana beranggapan dirinya masih terlalu muda dan sepatutnya memberikan laluan kepada alumni AF yang lain.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Menjaga Jodoh Orang Lain itu menjelaskan, dia perlu menghormati usaha peminat yang sudah bertungkus-lumus memberikan undian sehingga namanya berjaya diserap masuk ke program berkenaan.
“Saya ada sahaja membaca komen netizen di media sosial, pada saya, proses diserap masuk ini adalah berdasarkan undian. Undian saya lolos ke Top 4. Siapalah saya untuk menolak perkara itu.
“Saya memang berasa sangat kerdil untuk bertanding di GVF ini kerana saya peserta paling muda dan kurang pengalaman.
“Namun, saya hanya mahu menikmati perjalanan ini bersama kakak dan abang saya. Lagipun, saya sudah lama tidak sertai pertandingan,” kongsinya lagi.
Tambah Ara, dia menghormati setiap pandangan yang diberikan oleh orang ramai dan menganggap teguran tersebut sebagai peluang untuk memperbaiki diri.
Malah, dia tidak menafikan ada benarnya pandangan segelintir pihak yang berasakan alumni AF lain lebih layak untuk menyertai pertandingan tersebut.

“Pada saya, semua orang layak untuk memberikan komen. Siapalah saya nak menghalang. Kadang-kadang, kita juga perlukan pandangan orang lain
“Saya tidaklah terkesan dan menerima baik setiap pandangan. Ada logiknya apa yang mereka katakan. Mungkin ada lagi kakak dan abang alumni AF yang sangat berbakat yang sepatutnya masuk bertanding.
“Namun, disebabkan undian, mereka tidak dapat masuk. Alhamdulillah saya diberikan rezeki ini untuk buktikan kepada orang di luar saya. Saya merupakan wakil AF2016 dan cuba mahu berikan yang terbaik,” katanya lagi.
Tak Mahu Terlalu Selesa Dengan Pujian ‘Gebrek’ Hetty
Mengulas mengenai pujian ‘gebrek’ yang diberikan juri tetap, Hetty Koes Endang, Ara tidak mahu terlalu selesa dengan komen positif tersebut.
Sebaliknya, dia optimis terus memberikan persembahan terbaik dan membuktikan kemampuan sebenar sepanjang bersaing di pentas GVF.
Anda mungkin berminat dengan

“Saya ada mengikuti perkembangan GV sebelum ini tapi saya tidak tahu makna di sebalik perkataan itu.
“Bila saya tanya orang di belakang pentas, barulah saya tahu yang tak semua peserta akan dapat ‘gebrek’ itu. Itu bermakna Bunda Hetty suka dengan persembahan saya.
“Namun, ini baru minggu pertama. Tak adil jika kita nak buat penilaian awal. Kita tunggu apa yang boleh saya keluarkan untuk persembahan minggu hadapan,” akhirinya.
Terdahulu, Ara berjaya menampilkan saingan sengit pada konsert minggu ke-3 GVF apabila menduduki tangga kelima dengan markah 59.44%.
GVF berlangsung selama 11 minggu secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam bermula 9 November, setiap Sabtu pada pukul 9 malam menerusi Astro Ria (104).
Program berkenaan turut boleh distrim menerusi On Demand, Astro GO dan Sooka.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

sekarang!

