
Pelakon Yana Samsudin dilihat tidak mampu menahan sebak sewaktu kembali menjejakkan kaki ke ibu pejabat Metrowealth International Group (MIG), baru-baru ini.
Syarikat produksi berkenaan disifatkan Yana sebagai tempat awal perjalanan seni yang membentuk dirinya hari ini.
Lebih menyentuh hati, detik kepulangan itu berlaku hanya beberapa hari selepas pemergian bapa tercinta pada 26 Jun lalu, sekali gus menjadikan momen tersebut penuh dengan emosi dan kenangan.
Menerusi perkongsian video di Instagram, Yana memaklumkan dia bakal kembali berlakon menerusi sebuah drama terbitan MIG selepas sekian lama berehat daripada dunia lakonan.
View this post on Instagram
“Langkah yang paling berat tetapi tetap perlu diteruskan.
“Lima hari selepas abah pergi menghadap Ilahi, saya kembali menjejakkan kaki ke tempat yang banyak membentuk perjalanan hidup saya. Metrowealth International Group (MIG).
“Sejujurnya, keputusan untuk kembali berlakon kali ini bukan sesuatu yang mudah. Hati masih sangat berat. Namun dengan izin Allah dan restu suami, saya kuatkan diri untuk menerima rezeki ini,” tulisnya.
MIG Jadi Saksi Permulaan Perjalanan Seni
Menurut pelakon filem Bini-Biniku Gangster itu, ramai mengenalinya sebagai seorang pelakon, namun tidak ramai mengetahui bahawa perjalanan kerjayanya di MIG bermula seawal usia 17 tahun.

Katanya, di syarikat produksi itulah dia mempelajari pelbagai cabang dalam industri kreatif sebelum akhirnya dikenali sebagai antara bintang filem popular tanah air.
“Ramai yang mengenali saya sebagai pelakon. Tetapi mungkin tidak ramai tahu, perjalanan saya di MIG bermula seawal usia 17 tahun.
“Di sinilah saya belajar menjadi penyanyi, editor audio visual, pembantu pengarah, pengarah filem dan akhirnya pelakon,” ujarnya.
David Teo & Isteri Dianggap Seperti Keluarga
Dalam pada itu, Yana turut menyifatkan penerbit terkenal, Datuk David Teo dan isterinya, Datin Jane Lim, sebagai insan yang banyak membimbing serta memberi sokongan sepanjang dia membina kerjaya dalam dunia seni.

Malah, dia turut mengimbau pesanan arwah bapanya kepada pasangan tersebut agar sentiasa menjaga dirinya ketika berada di Kuala Lumpur.
“Lebih 11 tahun bersama mereka, terlalu banyak kenangan yang tersimpan. David Teo dan Madam Jane bukan sekadar penerbit buat saya.
Anda mungkin berminat dengan
“Mereka sudah seperti keluarga di Kuala Lumpur. Malah arwah abah sendiri pernah berpesan kepada mereka, ‘Tolong tengok-tengokkan Yana ya.’
“Mereka juga antara insan yang menyaksikan bagaimana setiap minggu abah menemani saya menaiki bas dari Johor ke Kuala Lumpur demi mengejar impian.
“Sebab itu… bila melangkah masuk semula ke pejabat ini, terlalu banyak memori yang datang serentak. Alhamdulillah,” kongsinya lagi.
Terdahulu, Yana antara pelakon yang sering membintangi filem-filem hits terbitan MIG seperti Kongsi, Adnan Sempit, 3 Temu Janji dan banyak lagi.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Instagram Yana Samsudin
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

