
Keputusan untuk menyanyi dalam keadaan tergantung pada konsert minggu keempat Big Stage Rocketfuel malam tadi rupanya bukanlah sesuatu yang asing buat Ranisha.
Penyanyi asal Labuan, Sabah itu mendedahkan dia sememangnya gemar melakukan aktiviti lasak dan sentiasa terbuka untuk mencabar kemampuan diri.
Menurut Ranisha, dia sanggup mengambil risiko tersebut demi memberikan kelainan kepada persembahannya walau terpaksa berdepan sedikit masalah teknikal ketika siaran langsung.

“Sebenarnya saya memang suka aksi-aksi lasak. Saya seorang yang sukakan ‘adventure’ seperti bungee jumping dan flying fox.
“Cuma pada hari ini, ketika bersiaran langsung, kita tidak akan tahu apa yang terjadi di atas pentas. Malah, ada berlaku sedikit masalah teknikal ketika itu.
“Alhamdulillah, saya cuba kekal fokus dan terjadilah persembahan sedemikian pada malam tadi,” katanya ketika ditemui sejurus saingan Big Stage Rocketfuel di Auditorium MBSA, Shah Alam, pada Ahad.

Syukur Dipuji, Enggan Terbuai Dengan Harapan Tinggi
Dalam pada itu, Ranisha meluahkan rasa syukur apabila persembahannya menerusi lagu Nak Dara Rindu menerima pujian positif barisan juri tetap.
Malah, dia tidak menyangka apabila salah seorang juri, iaitu Aisha Retno menyifatkannya sebagai antara calon berpotensi untuk bergelar juara pertandingan itu.

“Pertama sekali, saya rasa sangat bersyukur bila dapat pujian sebegitu daripada Aisha Retno. Malah, bila nampak kesemua juri tersenyum dengan persembahan saya, saya rasa sangat gembira.
“Pada saya, berjaya dapat tempat pertama itu hanyalah bonus. Saya sebenarnya lebih memikirkan sama ada orang terhibur atau tidak dengan persembahan saya.
“Alhamdulillah, harap penonton di MBSA dan di rumah terhibur. Itulah matlamat sebenar,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun, Ranisha menegaskan segala pujian yang diterimanya tidak akan membuatkan dia cepat berpuas hati.

Sebaliknya, komen positif itu dianggap sebagai pembakar semangat untuk terus memperbaiki diri dalam memberikan persembahan yang lebih berkualiti selepas ini.
“Sudah tentu saya rasa tertekan bila diberikan komen sebesar itu. Namun, itu tidak bermakna saya selesa.
“Kena terus perbaiki setiap kelemahan, tingkatkan skil dan sajikan lagi persembahan yang akan buat orang ingat,” katanya lagi.
Anda mungkin berminat dengan
Tambahnya lagi, dia juga tak mahu berada dalam zon selesa kerana menyedari setiap peserta Big Stage Rocketfuel memiliki kelebihan tersendiri dan terus menunjukkan peningkatan dari minggu ke minggu.

“Pada saya, kesemua peserta ada kekuatan masing-masing. Pada malam ini, kita nampak peningkatan daripada Danny.
“Hussain pula kekal konsisten. Hari demi hari, persembahan mereka bertambah baik. Masing-masing ada kelebihan dan bukan saya seorang sahaja,” akhirinya.
Terdahulu, Ranisha berjaya mengungguli konsert minggu keempat selepas mengetepikan cabaran lapan peserta lain dengan meraih markah tertinggi sebanyak 74.67 peratus.
Tempat kedua dan ketiga masing-masing menjadi milik Danny serta duo Adam & Nazmie, manakala Hussain berada di kedudukan keempat dengan markah 69.67 peratus.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

