
Tidak dinafikan, ada di antara pencinta drama tempatan yang gemar mengikuti sesebuah naskhah yang dekat dengan realiti kehidupan, selain kisah yang berlatarkan kemewahan semata-mata.
Berpegang kepada situasi tersebut, penerbit Jaja Ishak dari rumah produksi Jaja Ishak Channel optimis mempertaruhkan drama terbaharu, Sepenuh Hati Rindu.
Menampilkan barisan pelakon berpengalaman seperti Shahz Jaszle dan Farah Nabilah sebagai teraju utama, pemilihan kedua-dua pelakon itu dibuat berdasarkan keyakinannya terhadap kemampuan lakonan mereka, walaupun industri seni kini kian dipenuhi wajah-wajah baharu.
Yakin Bakat Masih Berbisa
Jelas Jaja, keputusan memilih Shahz Jaszle dan Farah Nabilah bukan dibuat sendiri, sebaliknya dipersetujui selepas melalui proses perbincangan bersama pihak stesen televisyen dan produksi.
Jaha berpendapat, pelakon yang pernah mencipta nama suatu ketika dahulu turut mempunyai kekuatan tersendiri dan wajar diberikan peluang untuk kembali menyerlah.
“Saya percaya setiap pelakon ada kredibiliti masing-masing.
Shahz Jaszle, Farah Nabilah dan Syafie Naswip misalnya, mungkin sudah lama tidak muncul secara berturut-turut di layar televisyen, tetapi mereka masih mempunyai kekuatan.
“Saya buat penelitian dan berbincang dengan pihak stesen televisyen. Kami melihat nama-nama yang pernah popular suatu ketika dahulu wajar diberi peluang untuk kembali menyerlah.
“Saya yakin teori ini mampu meledakkan drama yang sedang kami hasilkan.
“Di samping gabungkan pelakon baharu, pelakon pembantu berpengalaman, lokasi menarik dan pasukan produksi yang bekerja bersungguh-sungguh, saya yakin ia boleh menghasilkan karya terbaik, insya-Allah,” katanya.

Populariti Tak Semestinya Penentu Kejayaan
Dalam pada itu, Jaja juga berpandangan jumlah pengikut di media sosial bukanlah faktor utama yang boleh menentukan kejayaan sesebuah drama.
Sebaliknya, dia percaya jalan cerita yang mantap, sokongan daripada pelbagai pihak termasuk rakan media serta sistem sokongan yang kukuh mampu membantu sesebuah karya menawan hati penonton.
“Setakat ini, drama-drama terbitan saya walaupun dibarisi pelakon baharu atau mereka yang tidak mempunyai jutaan pengikut di media sosial, Alhamdulillah tetap ada sambutan.
“Kalau kita ada niat yang baik, sistem sokongan kukuh, bantuan rakan-rakan media dan jalan cerita menarik, saya percaya drama itu mampu berdiri setanding karya terbitan penerbit lain,” katanya lagi.
Baca Artikel Lain;
Cenderung Terbit Karya Kisah Masyarakat
Pada masa sama, Jaja mengakui dirinya lebih cenderung menghasilkan karya yang berteraskan realiti kehidupan masyarakat berbanding mengikut trend drama tempatan yang sering mengetengahkan watak CEO, golongan berada serta kehidupan serba mewah.
Menurutnya, latar belakang dirinya yang membesar di kampung membuatkan dia lebih dekat dengan kisah masyarakat pelbagai lapisan, sekali gus mahu menghasilkan naskhah yang mudah dihayati penonton.
“Saya bukan tidak suka sebab mahu membangkang, tetapi saya sendiri dilahirkan dan tinggal di kawasan kampung.
Anda mungkin berminat dengan
“Saya suka cerita-cerita begini sebab memang dekat dengan masyarakat. Jadi, apabila masyarakat menonton, mereka boleh kaitkan cerita itu dengan diri sendiri.
“Apa pun saya tetap hormati pendirian karyawan lain dan saya percaya, penonton juga ada citarasa dan kehendak sendiri,” katanya.
Drama Sepenuh Hati Rindu yang bakal disiarkan sebanyak 20 episod sekitar Oktober depan, mengangkat isu kehilangan seseorang serta apa kesannya terhadap institusi kekeluargaan.
Sedikit sebanyak, ia dilihat mampu memberi pendedahan dan pendidikan kepada masyarakat mengenai situasi yang jarang dibincangkan.
Selain Shahz Jaszle dan Farah Nabilah, drama yang menjalani penggambaran sekitar Pahang selama hampir 60 hari itu turut dibintangi Syafie Naswip, Raja Azmi, Lan Siro, Niswah Syuhada dan Ira Ma.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
View this post on Instagram
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

