
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa teruja apabila diberi peluang merakamkan lagu berbahasa Mandarin berjudul Be Like Water, sebuah lagu duet bersama rakan penyanyi, Firdhaus.
Menurut Siti, peluang tersebut menjadi satu cabaran buat dirinya memandangkan sudah berdekad lamanya dia tidak menyanyikan lagu dalam bahasa itu.
Malah, sepanjang proses rakaman, dia hanya bergantung kepada kemahiran mengingati dan menghafal bagi memastikan sebutan serta penyampaian lagu berada pada tahap terbaik.

“Bila diberikan peluang untuk menyampaikan lagu Madarin, ia merupakan satu cabaran buat saya. Nak belajar Bahasa Mandarin ini bukan mudah.
“Saya cuma menggunakan kemahiran mengingati dan menghafal. Ia adalah pengalaman yang sangat menarik. Sebelum ini, saya pernah merakam lagu Mandarin ketika usia saya masih muda.
“Selepas puluhan tahun berkahwin, saya tidak lagi menyanyikan lagu Mandarin. Saya juga pernah memenangi pertandingan nyanyian di Shanghai. Sama seperti Shila Amzah dan Misha Omar.
“Saya juga ada menyimpan hasrat untuk rakam semula lagu Mandarin. Kebetulan saya dipertemukan dengan Firdhaus. Dia penyanyi yang sangat hebat. Cuckoo realisasikan hasrat saya ini,” katanya kepada MH.
Siti berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) Cuckoo Dream Fund yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur pada Selasa.

Mengulas lanjut, Siti mengakui proses rakaman bukan sesuatu yang mudah memandangkan jadual kerjanya yang padat.
Namun, dia bersyukur apabila menerima bimbingan daripada Firdhaus dan isteri kepada pengasas Cuckoo, KC Hoe, sepanjang berada di studio rakaman.

“Saya akui ia memang sukar kerana jadual saya yang agak padat.
“Ketika rakaman, Firdhaus dan isteri kepada pengasas Cuckoo, KC Hoe banyak mengajar dan bersabar dengan saya di dalam studio.
“Saya mengambil masa hampir tiga jam untuk proses rakaman vokal,” kongsinya lagi.
Firdhaus Kagum Dengan Kesungguhan Siti
Dalam pada itu, Firdhaus tidak lokek memuji dedikasi yang ditunjukkan Siti sepanjang proses rakaman sehingga berjaya menghasilkan sebutan Mandarin yang hampir sempurna.

“Dari segi sebutan, ia hampir sempurna. Bagi orang Melayu yang langsung tidak pernah bertutur dalam Bahasa Cina, lenggok lidah kita lain sikit.
“Dalam masa tiga jam untuk mengajar Datuk Seri Siti, beliau cepat belajar dan sangat cemerlang,” kongsinya.
Pada masa sama, Firdhaus turut melahirkan rasa syukur apabila impiannya untuk menulis dan merakamkan lagu bersama penyanyi nombor satu negara akhirnya menjadi kenyataan selepas melalui proses selama dua tahun.
Anda mungkin berminat dengan

“Saya langsung tak pernah terfikir perkara ini akan terjadi. Terima kasih kepada pihak Cuckoo yang merealisasikan projek ini.
“Sejak saya berkongsi pentas bersama Datuk Seri Siti di acara Cuckootopia pada dua tahun lalu, KC Hoe ada berjumpa saya untuk merancang projek kami bersama.
“Selas dua tahun proses menyiapkan lagu, dapatlah saya berduet dengan Datuk Seri Siti. Harap peminat suka,” kongsinya lagi.
Terdahulu, Be Like Water turut dipilih sebagai lagu rasmi bagi menyokong usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi kempen Cuckoo Love, Cares Project.
Pada majlis sama, Cuckoo Malaysia turut memperkenalkan inisiatif Cuckoo Dream Fund bernilai RM100,000, iaitu sebuah dana kreatif yang menawarkan sokongan kewangan sehingga RM10,000 bagi setiap projek berserta bimbingan industri.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

