
Pelakon veteran, Prono akui berbesar hati untuk terlibat dan membuat kemunculan istimewa di dalam filem adiwira terbaharu, Keluang Man The Movie.
Menurut Prono atau nama sebenarnya, Mat Saad Abd Ghani, sebelum ini dia terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon kerana sudah menetap di Melaka.
“Sebelum filem ini, Astro ada beberapa kali hubungi saya untuk berlakon di bawah arahan Bade Hj Azmi. Ada juga pengarah-pengarah baharu yang cari saya.
“Saya pun sudah lama tidak berlakon. Kini, saya menetap di Melaka. Saya dimaklumkan pihak Astro mencari saya untuk berlakon filem.
“Namun, kemunculan saya hanyalah cameo sahaja,” katanya kepada MH ketika ditemui di malam gala filem Keluang Man, di IOI City Mall, Putrajaya, malam tadi.
Kerja Di Bawah Orang Baharu
Pada masa sama, Prono akui teruja untuk berlakon di bawah arahan pengarah muda, Anwari Ashraf.
“Saya rasa ini peluang yang sangat bagus. Walaupun saya tak kenal Anwari tapi pengarahannya sangat bagus dan berbeza dengan stail pengarah lama.
“Dia baru beranak, saya sudah berlakon dahulu. Tapi saya juga banyak belajar. Zaman kami pun sudah lama berlalu. Saya anggap Amwari ini sebagai pelapis yang bagus,” ujarnya.
Pada masa sama, pelakon yang terkenal dengan francais Senario The Movie akui tersentuh bila lakonanya masih diingati sehingga hari ini.
“Walaupun saya sudah berlakon berpuluh tahun dan kini jarang muncul lagi tapi filem-filem saya masih diingati sampai sekarang. Antaranya filem-filem Senario.
“Kini, saya masih lagi dipanggil. Itu bermakna karya-karya saya dahulu memberi kesan sampai sekarang. Saya sangat bersyukur,” kongsinya lagi.
Ditanya mengenai perasaannya sewaktu kembali ke set penggambaran filem Keluang Man, Prono memaklumkan dia tiada masalah untuk mengikut kehendak pengarah.
“Biasanya, saya berlakon tidak ikut skrip. Segalanya spontan. Pengarah hanya akan pacak kamera, saya tinggal ‘henjut’ sahaja.
“Segalanya berlaku secara semula jadi. Saya dan pengarah sudah tahu apa yang nak dibuat. Pengalaman saya yang berpuluh tahun ini pun banyak membantu,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI