
Neelofa
Nilofa Group secara rasmi mengumumkan kembalinya Nilofa Banana Milk, sekali gus membuka lembaran baharu buat jenama tempatan itu dengan sasaran jualan yang lebih agresif, penstrukturan semula ekosistem Rakan Niaga (Business Partner) serta perancangan pengembangan ke pasaran serantau dan antarabangsa.
Majlis pelancarannya yang berlangsung di Flint, The Curve, Petaling Jaya telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Tuan Steven Sim Chee Keong.
Dilancarkan buat kali pertama pada 23 November 2019, produk berkenaan berjaya mencatat jualan melebihi tujuh juta unit sekali gus membuktikan potensi besar jenama tempatan itu dalam pasaran.
Bagaimanapun, pengeluarannya dihentikan pada Jun 2022 susulan kesan pandemik COVID-19 sebelum kembali berada di pasaran bermula 24 Julai lalu.
Bagi tahun ini, Nilofa meletakkan sasaran untuk menjual kira-kira empat juta unit menjelang penghujung 2026.
Pengasas Nilofa Group, Noor Neelofa Mohd Noor, berkata kembalinya produk itu bukan sekadar membawa semula minuman yang pernah menjadi pilihan pengguna, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada visi perniagaan yang lebih besar.
“Nilofa Banana Milk bukan bermula dari sifar. Kami kembali dengan pengalaman menjual lebih tujuh juta unit sebelum ini, tetapi kali ini aspirasi kami jauh lebih besar.
“Kami mahu membina perniagaan yang lebih kukuh, membangunkan usahawan bersama-sama kami, dan akhirnya melihat sebuah jenama Malaysia berkembang melangkaui Malaysia,” katanya.
Baca Artikel Lain;
Sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan, pihaknya turut memperkenalkan rangkaian eksklusif membabitkan 50 Rakan Niaga terpilih di seluruh negara.
Berbeza dengan model ejen berskala besar yang lazim digunakan, syarikat memilih pendekatan lebih fokus dengan mewujudkan kerjasama rapat antara Rakan Niaga dan ibu pejabat bagi membangunkan pasaran, komuniti pelanggan serta rangkaian stokis berdaftar di kawasan masing-masing.
Menurut Neelofa, model itu membolehkan syarikat memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan yang komited, sekali gus membantu mereka membina perniagaan yang mampan seiring pertumbuhan jenama.
Melalui ekosistem tersebut, setiap Rakan Niaga berpeluang mengembangkan pasaran sendiri, membina rangkaian stokis serta pelanggan, di samping membuka lebih banyak peluang keusahawanan dan penjanaan pendapatan.
Kehadiran Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada majlis berkenaan turut mencerminkan komitmen Nilofa dalam memperkukuh agenda pembangunan keusahawanan negara.
Selain memasarkan produk, syarikat menjadikan ekosistem Rakan Niaga sebagai platform bagi melahirkan usahawan yang mempunyai pengalaman praktikal dalam bidang jualan, pengedaran, pembangunan pelanggan, kepimpinan dan pengurusan perniagaan.
Neelofa juga percaya syarikat tempatan mampu memainkan peranan lebih besar dalam membangunkan keusahawanan menerusi penciptaan peluang komersial dan ekosistem perniagaan yang mampan, sekali gus melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing.
Pada masa sama, pihaknya juga optimis mahu memperluaskan kehadiran produk ke peringkat serantau apabila Nilofa Banana Milk kini boleh didapati di Singapura dan Brunei.
Syarikat itu juga sedang mengenal pasti beberapa pasaran baharu di Asia Tenggara serta Timur Tengah sebagai destinasi pengembangan seterusnya, dengan aspirasi menjadikan Nilofa antara jenama pengguna Malaysia yang mampu bersaing di peringkat global.
“Saya mahu kita mencapai tahap di mana pengguna di luar Malaysia mengenali Nilofa sebagai jenama kelahiran Malaysia,” katanya.
Bagi merealisasikan hasrat itu, pasukannya akan melaksanakan strategi pengembangan antarabangsa secara berperingkat sambil terus memperkukuh rangkaian pengedaran, keupayaan operasi serta ekosistem Rakan Niaganya di Malaysia.
Selepas berehat selama lima tahun, sekali gus menandakan lembaran baharu bagi jenama Susu Pisang Nilofa untuk terus memenuhi permintaan pengguna yang merindui keenakan rasa serta kualiti yang dibawanya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.