
Penyanyi dan komposer, Aina Abdul memilih untuk memberikan tumpuan kepada dirinya sendiri berbanding mengambil tahu tentang kekuatan peserta lain menjelang pertandingan Eurovision Asia yang bakal berlangsung di Thailand, November depan.
Menurut Aina, keputusan itu diambil bagi menjaga kesihatan mentalnya agar tidak terlalu terbeban dengan tekanan menjelang pertandingan berprestij berkenaan.

“Sejujurnya untuk pastikan mental saya siuman, saya tidak mencari tahu tentang para peserta lain. Saya percaya setiap negara menghantar wakil yang terbaik dan mereka semua hebat.
“Namun, saya tidak mahu buat diri saya lebih tertekan. Saya doakan perkara yang baik-baik juga kepada para peserta lain. Saya tahu tekanannya sangat tinggi kerana kita bawa semangat sesebuah negara.
“Saya doakan yang terbaik buat mereka. Namun, saya juga mahu membantu mental saya untuk tidak terlalu memikirkan orang lain,” katanya kepada MH.
Aina berkata demikian ketika ditemui pada acara prapendengaran single terbaharunya berjudul Bluest Sky, baru-baru ini.
Terharu Nama Mula Raih Perhatian Media Antarabangsa
Dalam pada itu, penyanyi lagu Kamu ini mengakui teruja apabila namanya mula mendapat perhatian media antarabangsa, sekali gus dilihat sebagai antara pencabar yang perlu diberi perhatian dalam pertandingan berkenaan.
Menurut Aina, perkembangan itu bukan sahaja membuatkan dirinya terharu, malah menjadi petanda bahawa impiannya untuk mengembangkan kerjaya seni ke peringkat antarabangsa semakin menampakkan hasil.

“Saya ada ternampak hal itu. Saya terharu dan agak terkejut sebab nama saya mula mendapat perhatian daripada orang luar daripada Malaysia. Itu adalah impian saya sebenarnya.
“Perjalanan kerjaya saya juga banyak berkiblatkan artis-artis hebat daripada luar. Bila buat sesuatu, sudah tentu kita nak cabar diri sendiri untuk tahu sejuah mana kita boleh pergi.
“Saya selalu tertanya boleh ke seorang Aina Abdul ini melangkah sehingga ke luar negara. Jadi, saya bersyukur bila ramai orang mula tahu bakat dan lagu-lagu saya yang sebelum ini,” kongsinya lagi.
Gugup, Namun Percaya Pengalaman Di AJL Jadi Bekalan
Meskipun menyuarakan keyakinan, Aina mengakui dirinya masih berasa agak gemuruh untuk membawa nama negara ke pentas antarabangsa itu, apatah lagi pertandingan berkenaan hadir dengan tekanan serta tanggungjawab besar sebagai wakil Malaysia.

Anda mungkin berminat dengan
“Saya sebenarnya sangat nervous. Namun, saya pilih untuk nampak yakin kerana ia merupakan cara saya mengatasi tekanan. Saya sentiasa bertanya kepada pengurus, betul ke apa yang kita buat ini?
“Saya masih ada saat-saat keraguan di dalam diri. Beberapa hari lagi saya akan ke sana. Jadi, saya kena mula jadi yakin dan percaya diri saya yang saya mampu untuk melakukan semua ini.
“Saya dilahirkan untuk buat perkara ini. Saya sudah buat persembahan seperti ini di AJL. Itu pentas yang melatih saya. Ia sekolah buat saya. Tujuh tahun saya masuk untuk latih saya menjadi kental.
“Momen ini datang pada waktu yang tepat. Saya tahu apa yang saya mahukan dan persembahan apa yang saya nak bawa. Alhamdulillah saya dapat sokongan daripada banyak pihak,” akhirinya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

