
Apa yang bermula sebagai minat mendalam terhadap durian kini berkembang menjadi satu inisiatif berskala besar apabila pempengaruh yang juga usahawan, Edison Ang, menubuhkan Kuala Lumpur Durian Experience Centre (KLDEX), pusat pengalaman durian pertama dan terbesar di Asia.
Memiliki lebih empat juta pengikut di platform media sosial di Malaysia dan China, Edison yang sinonim dengan gelaran ‘durian influencer’ selama ini aktif berkongsi kandungan berkaitan raja buah tersebut.
Kini, Edison melangkah lebih jauh dengan memperkenalkan sebuah pusat yang menghimpunkan sejarah, budaya dan pengalaman berkaitan durian Malaysia di bawah satu bumbung.
KLDEX diasaskan bersama Ang Kean Wee menerusi syarikat MyBolehBoleh dan bakal dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 4 Julai ini dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia serta Tourism Malaysia.
Mahu Warisan Durian Malaysia Terus Terpelihara
Bagi Edison, durian bukan sekadar buah kegemaran rakyat Malaysia, sebaliknya merupakan sebahagian daripada identiti serta warisan budaya negara yang wajar dipelihara untuk generasi akan datang.
“Ramai mengenali Musang King, D24 atau Black Thorn, tetapi tidak ramai yang mengetahui kisah di sebalik varieti-varieti ini.
“Malaysia mempunyai sejarah dan budaya durian yang sangat kaya. Saya rasa kisah-kisah ini perlu didokumentasikan dengan lebih tersusun supaya ia tidak hilang ditelan zaman,” katanya.
Menurut pengasas MyBolehBoleh itu, walaupun durian Malaysia semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa, masih banyak sejarah dan cerita menarik mengenainya yang belum diketahui umum.
“Kalau kita tidak mula memeliharanya sekarang, saya bimbang banyak kisah berharga ini akan dilupakan. Sebab itu KLDEX diwujudkan sebagai ruang untuk orang ramai memahami durian bukan sekadar dari sudut rasa, tetapi juga sejarah dan budaya,” katanya.



Baca Artikel Lain;
Mahu Ajak Rakan Selebriti Turut Serta
Dalam pada itu, pihaknya juga turut merancang untuk menjemput semua peminat Durian termasuk rakan selebirti, KOL dan rakan pempengaruh lain untuk sama-sama merasai pengalaman istimewa ini.
“Pada 4 dan 5 Julai depan, kami akan menganjurkan Malaysia’s Durian Festival. Jadi sepanjang dua hari penganjuran, pelbagai aktiviti telah dirancang termasuk demonstrasi masak Dodol, Teh Tarik Durian dan sebagainya.
“Kita akan menjemput rakan niaga, selebriti dan rakan-rakan lain untuk memeriahkan acara. Malah pengunjung juga boleh menonton sesi teater yang memberi pengetahuan berkenaan dengan sejarah ‘raja buah’ ini di Malaysia,” katanya lagi.
Pengalaman Unik, Terbesar Di Asia
Berkeluasan lebih 20,000 kaki persegi, KLDEX menawarkan pelbagai tarikan yang membawa pengunjung menelusuri perjalanan durian Malaysia menerusi pameran interaktif, arkib sejarah, kandungan imersif serta kisah-kisah menarik mengenai varieti tempatan yang ikonik.
Pengunjung juga berpeluang merasai suasana seolah-olah berada di dusun menerusi zon khas yang memperkenalkan ekosistem pokok durian, teknik penanaman serta perkembangan industri durian tempatan.
Selain berfungsi sebagai muzium, pusat tersebut turut dilengkapi teater imersif yang menggabungkan elemen drama, tarian, rap dan muzik bagi memperkenalkan budaya durian Malaysia menerusi pendekatan yang lebih moden serta mesra pelancong.
Anda mungkin berminat dengan
Tidak hanya itu, KLDEX turut menyediakan ruang makanan dan runcit yang menawarkan pelbagai produk berasaskan durian termasuk tart dan kopi durian bagi memberikan pengalaman rasa yang lebih menyeluruh kepada pengunjung.
MyBolehBoleh yang diasaskan Edison pada tahun 2023 sebelum ini giat mempromosikan durian Malaysia ke pasaran antarabangsa. Menerusi KLDEX, beliau berharap pusat tersebut mampu muncul sebagai antara tarikan pelancongan baharu negara, selain memperkenalkan budaya durian Malaysia kepada dunia dengan lebih meluas.
“Visi kami bukan sekadar memperkenalkan durian, tetapi berkongsi kisah dan identiti Malaysia kepada dunia.
“Harapan saya, apabila pelancong datang ke sini, mereka bukan hanya pulang dengan rasa durian yang sedap, tetapi juga membawa bersama pengalaman dan cerita yang membuatkan mereka lebih mengenali Malaysia,” katanya.
Pada masa hadapan, KLDEX turut merancang untuk memperkenalkan lawatan khas ke dusun-dusun tempatan bagi membolehkan pengunjung menikmati sendiri pengalaman durian dari ladang sehingga ke meja hidangan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

