
Selepas enam musim bersiaran, program realiti nyanyian popular Astro, Big Stage terus membuktikan peranannya sebagai platform penting dalam memperkasakan industri muzik tempatan menerusi kelahiran bakat-bakat baharu yang berkualiti.
Melalui latihan intensif, bimbingan tenaga profesional serta pengalaman membuat persembahan secara langsung setiap minggu, para peserta diberikan pendedahan menyeluruh bagi mempersiapkan diri menghadapi dunia seni yang semakin kompetitif.
Antara contoh terbaik ialah Aisha Retno yang menunjukkan transformasi luar biasa selepas dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga Big Stage 2022.

Sejak menamatkan saingan dalam program tersebut, nama Aisha terus melonjak sebagai antara komposer muda berbakat di negara ini. Lagu-lagu ciptaannya seperti Sutera, Samudera dan Tak Adil berjaya meraih perhatian pendengar, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai penyanyi dan komposer muda prolifik masa kini.
Malah, lagu raya Jodoh Lebaran turut mencuri perhatian peminat apabila berjaya meraih 26 juta tontonan sepanjang Syawal lalu.

Menurut Aisha, segala kejayaan yang dikecapinya hari ini tidak mungkin berlaku tanpa pengalaman dan pendedahan yang diterimanya ketika menyertai Big Stage.

“Ke mana pun saya pergi atau dengan siapa sahaja saya berborak, saya akan selalu sebut dengan bangganya yang saya juga merupakan alumni Big Stage.
“Saya menjumpai diri sendiri dan genre kesukaan saya melalui Big Stage ini. Itu sahaja cukup untuk menggambarkan betapa besar impak program berkenaan terhadap kerjaya saya,” katanya.
Kejayaan meraih kategori Persembahan Terbaik serta muncul sebagai naib juara di Anugerah Juara Lagu ke-38 menerusi lagu Sutera turut membuktikan Aisha kini mampu berdiri sebaris dengan nama-nama besar industri.

Terbaharu, beliau turut diberi kepercayaan membawakan watak Gusti Putri dalam Puteri Gunung Ledang The Musical yang bakal dipentaskan tidak lama lagi.
Sementara itu, Wani Kayrie mengakui penyertaannya dalam Big Stage musim pertama menjadi titik penting dalam perjalanan seninya.

Menurut Wani, program tersebut membuka lebih banyak peluang untuk dirinya dikenali dan mengembangkan bakat sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Big Stage banyak memberikan saya peluang, membuka jalan dan jadi lebih dikenali. Orang jadi lebih tahu kebolehan dan bakat saya.
“Bila kita beraksi setiap minggu, mereka lebih yakin untuk memberikan kita tugasan tertentu ketika undangan persembahan.
“Antara jemputan persembahan yang saya terima adalah untuk peringkat antarabangsa seperti Asian TV Awards di Filipina, Singapura dan Vietnam.
“Ia juga membuka peluang buat saya untuk menyertai program D’Academy Asia musim ke-4 sebaik Big Stage tamat,” katanya.
Program tersebut turut membantu melonjakkan popularitinya, lebih-lebih lagi selepas pelancaran single Cak Cak Cekuk yang meraih 14 juta tontonan di YouTube dalam tempoh setahun dan melayakkannya beraksi di Anugerah Juara Lagu ke-40 pada Ogos ini.

Kejayaan sama turut diraih oleh Alpha yang ditubuhkan menerusi Big Stage musim keenam.
Dalam tempoh hanya setahun sejak debut, kumpulan itu telah mencetuskan fenomena menerusi lagu seperti Mona Lisa (Bang Bang), P Ramlee Saloma, Bujang dan Sahabat.

Lebih membanggakan, Alpha kini sudah melancarkan album sulung berjudul The First Wave dan bakal mengadakan konsert pertama mereka pada September depan.
Album tersebut memuatkan lagu Burn It Down yang ditulis khas oleh Daniel Caesar dan Candace Sosa yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan BTS dan Red Velvet.

Sementara itu, penyanyi dan pengacara Sissy Imann mengakui penyertaannya dalam musim pertama program Big Stage menjadi titik perubahan terbesar dalam perjalanan seninya.
Menurut Sissy, program realiti nyanyian itu membuka peluang yang selama ini dinantikan untuk membuktikan bakat dan kebolehannya di atas pentas.

“Big Stage musim pertama itu merupakan turning point buat saya. Sudah lama saya menantikan satu detik untuk mempersembahkan bakat dan menunjuk kebolehan saya di atas pentas.
Anda mungkin berminat dengan
“Kini, saya sudah bergelar pengacara. Banyak pintu yang saya sendiri tak jangka akan dibuka untuk saya,” katanya
Katanya lagi, Big Stage banyak mengajarnya untuk mencari identiti sendiri tanpa perlu bereksperimentasi secara berlebihan.

“Banyak momen-momen yang masih saya ingat sampai sekarang. Pada minggu pertama dan kedua, saya berjaya menduduki tangga pertama. Markah juri menyebelahi saya.
“Momen itu juga yang buat saya benar-benar percaya bahawa itulah kekuatan saya ketika di atas pentas. Pada minggu ketiga, saya cuba bereksperimentasi. Manakala minggu keempat pula, saya buat perkara yang langsung saya tidak yakin.
“Kemudian saya tersingkir. Sejak itu, ia mengajar saya untuk sentiasa menjadi diri sendiri,” ujarnya.
Big Stage Rocketfuel Cari Bintang Baharu
Selepas melalui pemilihan yang ketat, 10 peserta terbaik kini bersedia menggegarkan pentas Big Stage Rocketfuel demi merebut kontrak pembangunan artis bernilai hampir RM200,000 tajaan Rocketfuel Entertainment.
Dengan identiti, aura dan gaya tersendiri, Sufie Rose, Qilo, Rieffa, Danny, Aliff Kimiey, Yad-z, Ranisha, Danial Kifli, Sabrina serta duo Adam & Nazmie kini bersedia untuk membuktikan mereka mempunyai apa yang diperlukan untuk menjadi bintang seterusnya.

Bukan sekadar pertandingan, mereka juga bakal menerima bimbingan profesional, peluang industri dan pendedahan eksklusif sepanjang perjalanan ini.
Diadili oleh Hael Husaini, Aisha Retno dan Akim Ahmad, serta dihoskan buat pertama kali oleh Nabil Ahmad, Big Stage Rocketfuel tampil dengan tagline “Pentas Bakal Bersinar. Dominasi For Real”.
Bersandarkan tagline “Dominasi For Real”, Big Stage Rocketfuel bakal bersiaran mulai 28 Jun, setiap Ahad jam 9 malam menerusi Astro Ria dan turut boleh distrim melalui Astro One serta sooka.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

