
Pengarah dan penerbit, Datuk A. Aida tetap berbangga dengan pecapaian yang diraih bersama anaknya, Azeva Natassha meskipun menduduki tempat keempat di Grand Finale Talk To My Manager musim ke-2 (TTMM2).
Menurut A. Aida, dia menyifatkan kejayaan Azeva melangkah ke pentas akhir sebagai satu pencapaian yang sangat besar terutamanya buat pendatang baharu sepertinya.

“Alhamdulillah, apa sahaja keputusan, saya tetap berbangga dengan Azeva. Dia sudah berjaya melangkah ke final, jadi saya tidak mengharapkan apa-apa.
“Dapat nombor berapa pun tak kisah. Bila diumumkan dapat tempat keempat, kami okay sahaja. Semua peserta tampilkan persembahan terbaik.
“Bila tengok Anggrek buat persembahan, kita yang orang tua pun terkesima. Dia memang seorang penghibur yang istimewa
“Cik B pula, semangatnya luar biasa manakala Hussain pula punyai kehebatan dari segi vokal. Kami reda. Program ini bukan hanya pentingkan vokal, persembahan juga diambil kira,” katanya kepada MH.
A. Aida dan Azeva ditemui selepas tamat konsert Grand Finale TTMM2 yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam, malam tadi.
Sementara itu, Azeva pula menjelaskan dia tidak berasa kecewa sebaliknya dia turut tumpang gembira melihat kejayaan rakan-rakan finalis yang lain.

“Saya tak kecewa pun. Sebaliknya saya sangat gembira. Saya selalu kata yang saya tak mahu jadi juara. Saya tengok usaha mereka ini sepertu 10 kali ganda daripada usaha saya.
“Saya nak sangat tengok kawan-kawan saya menang. Usaha mereka memang berbeza. Tak mengapalah kalau saya tak menang. Biarlah mereka yang dapatkan peluang itu.
“Saya sangat gembira untuk Anggrek. Dia sangat layak,” kongsinya.
Lagu Duet Bersama Zaki Yamani
Dalam masa sama, A. Aida turut mendedahkan dia susah pun merangka perjalanan kerjaya seni buat anaknya itu termasuk projek lagu dan filem.

“Banyak projek untuk Azeva bakal direalisasikan selepas ini. Dalam minggu hadapan, Azeva akan merakamkan single duet bersama penyanyi Zaki Yamani.
“Kemudian, dia ada projek filem pula. Bagi saya, penyertaan dalam TTMM2 menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan Azeva kepada khalayak.
“Saya percaya dia mempunyai pakej lengkap untuk melangkah lebih jauh sebagai penyanyi,” ujarnya lagi.
Fokus Nyanyian Berbanding Lakonan
Tegas A. Aida lagi, dia mahu anaknya itu memberikan sepenuh tumpuan terhadap kerjaya nyanyian berbanding lakonan.
Katanya lagi, kerjaya sebagai pelakon menuntut komitmen yang sangat besar sehigga kurang punyai masa untuk diri sendiri dan keluarga.
Anda mungkin berminat dengan

“Azeva masih bekerja dengan A. Aida Production. Dia tetap kena masuk pejabat. Saya mahu Azeva fokus menyanyi. Jemputan persembahan kebanyakkannya pada hari Sabtu dan Ahad sahaja.
“Saya tak sarankan dia berlakon drama. Jika dia berlakon drama 26 episod, tiga bulan dia akan berada di set. Dia tidak akan ada masa untuk dirinya sendiri dan keluarga.
“Kalau jadi penyanyi, paling lama pun dua atau tiga jam sahaja bekerja. Kelebihan menjadi penyanyi, mereka akan ada banyak masa untuk keluarga.
“Jika berlakon didalam filem atau telefilem, saya akan benarkan kerana ia merupakan projek besar. Namanya akan lebih mudah dikenali,” akhirinya.
Terdahulu, Azeva dan A Aida menamatkan saingan di kedudukan keempat daripada lima finalis yang bertanding, sekali gus membawa pulang wang tunai RM5,000, pakej penginapan berserta trofi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

