Uncategorized

Macam Mimpi! Ucop Bersyukur Akhirnya Bergandingan Dengan Wan Maimunah, Dedah Keperibadian Baik Seorang Seniwati – “Sangat Pemurah, Banyak Memberi.”

Share

Peluang bergandingan dengan Seniwati Wan Maimunah menerusi video khas Generasi Anak Felda menjadi detik paling bermakna buat pelakon versatil, Ucop apabila impian yang dipendam sejak kecil akhirnya menjadi kenyataan.

Menurut Ucop, ini kali pertama dia berpeluang berkongsi set dengan pelakon legenda itu yang disifatkannya sebagai seorang seniwati tiada tolok banding.

Impian Lama Akhirnya Jadi Kenyataan

“Ini kali pertama saya dapat bekerja dengan beliau. Wan Maimunah seorang seniwati yang memang tiada tolok bandingnya.

“Bekerja dengan dia rasa macam betul-betul ada seorang ibu di set. Dia tahu macam mana nak ‘regulate’ emosi kita mengikut babak.

“Sangat pemurah bila berlakon dan banyak memberi. Memang seronok bekerja dengan dia,” katanya.

Lebih mengujakan, Ucop turut mengakui Wan Maimunah menjadi antara pelakon yang paling diimpikan untuk bergandingan kerana dia membesar dengan karya-karya lakonan seniwati berkenaan.

“Saya membesar menonton lakonan beliau, terutamanya drama-drama TV3 awal tahun 2000-an bersama Haliza Misbun. Saya masih ingat, dia antara pelakon yang betul-betul boleh buat saya menangis sebagai penonton.

“Bila dah besar dan akhirnya dapat berlakon bersama-sama, memang rasa macam mimpi. Saya bersyukur tengok macam mana dunia ini, kadang-kadang membawa kita kepada impian yang pernah kita angankan. Alhamdulillah,” ujarnya.

Ucop dan Wan Maimunah bergandingan menerusi video khas Generasi Anak Felda berdurasi 19 minit yang dimuat naik oleh Exco Hal Ehwal Felda Pahang, Datuk Amizar Abu Adam dengan kerjasama Media Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang.

Naskhah itu mengangkat kisah seorang anak Felda yang berhijrah ke bandar demi mengejar cita-cita sebelum membuat keputusan pulang ke tanah rancangan untuk berbakti kepada ibu bapanya serta membangunkan komuniti di tempat asal.

 

Baca Artikel Lain;

https://www.mediahiburan.my/tampilkan-ameerul-affendi-beto-kusyairi-nabila-huda-pertaruhan-berani-bobby-husaini-dari-dunia-iklan-ke-layar-perak-demi-libang-libu/

Konsistensi Lebih Sedekad Mula Membuahkan Hasil

Dalam perkembangan lain, Ucop menyifatkan perjalanan kariernya hari ini sebagai hasil kesabaran dan konsistensi selepas lebih sedekad membina nama dalam pelbagai cabang seni.

“Sejujurnya, apa yang saya buat 10 tahun lalu sebenarnya adalah perkara yang saya memang nak jadi hari ini. Semuanya bermula tanpa niat lain selain mahu menjadi seorang performer.

“Bila saya tengok balik diri saya sekarang, semua ini adalah hasil daripada kesabaran, konsistensi untuk jadi diri sendiri, berani bereksperimen dengan content, artistic direction dan semua benda yang saya belajar dengan cara yang agak sukar.

“Saya sentiasa percaya saya mampu buat sesuatu yang lebih besar walaupun pernah rasa dipinggirkan, rasa tak sama macam orang lain, tak berada dalam senarai dan bukan pilihan utama,” katanya lagi.

Ucop menambah, dia tidak pernah percaya seseorang perlu mengehadkan diri kepada satu bidang semata-mata untuk mencapai kejayaan.

“Dulu orang selalu cakap kalau nak berjaya kena pilih satu benda dan duduk dalam kotak itu. Tapi saya tak percaya macam itu.

“Saya rasa kita semua mampu buat banyak perkara. Sebab itu saya buat macam-macam daripada menari, teater, content creation dan berlakon. Bila tengok balik, semuanya macam puzzle yang akhirnya bercantum.

“Saya sangat bersyukur bila ada orang nampak kemampuan kita dan percaya untuk menggunakan servis kita. Itu sendiri satu penghormatan buat saya,” ujarnya.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH