
‘Girl group’ popular, Dolla kembali mewarnai industri muzik dengan single terbaharu mereka berjudul “G.O.A.T”, hasil kolaborasi bersama ikon rap Thailand, F.Hero.
Karya berkenaan menjadi pembuka tirai kepada era baharu Dolla yang disifatkan sebagai paling berani setakat ini, sekali gus mencerminkan aspirasi mereka untuk terus mengembangkan pengaruh ke seluruh Asia Tenggara dan pasaran antarabangsa.
Diterbitkan oleh penulis lagu dan penerbit dari Norway, Audun Agnar Guldbrandsen yang pernah menghasilkan lagu antarabangsa seperti “I AM” dan “Kitsch” nyanyian IVE, “G.O.A.T” menggabungkan produksi pop yang mantap dengan elemen rap yang penuh karakter.
Lagu itu turut ditulis bersama Erika Dahlen, Amanda Liedberg, Stian Nyhammer Olsen dan F.Hero, dengan membawa mesej mengenai keyakinan diri, keberanian menjadi diri sendiri serta meraikan kekuatan untuk mengharungi cabaran tanpa membiarkan keraguan menguasai diri.
Kolaborasi Bersama F.Hero Buka Laluan Ke Thailand
Kolaborasi bersama F.Hero turut menjadi langkah penting buat Dolla dalam usaha memperluaskan pengaruh mereka ke Thailand, yang merupakan antara pasaran muzik paling dinamik di Asia Tenggara.
Sebagai salah seorang figura hip-hop paling berpengaruh di negara itu, F.Hero menyuntik karisma serta identitinya yang tersendiri ke dalam lagu ini, sekali gus menghasilkan gabungan unik antara pop Malaysia dan hip-hop Thailand.
“Bekerjasama dengan F.Hero memang satu pengalaman yang sangat menarik kerana gaya muziknya sangat berani dan penuh karakter, dan itu selari dengan arah baharu yang kami ingin tampilkan menerusi ‘G.O.A.T’.
“Kami juga rasa F.Hero benar-benar membawa semangat lagu ini. Sebagai kumpulan wanita, vokal kami lebih feminin, manakala dia pula membawa tenaga yang lebih garang dan kuat.
“Kontras itu menjadikan lagu ini lebih dinamik dan memberi satu dimensi baharu,” kongsi Dolla.
Lebih daripada sekadar kolaborasi rentas negara, “G.O.A.T” turut mencerminkan sinergi kreatif yang semakin berkembang antara Malaysia dan Thailand, selain memperkenalkan Dolla kepada khalayak baharu di seluruh rantau ini.

Baca Artikel Lain;
Imej Lebih Edgy, Lambang Keyakinan Diri
Dari segi visual, “G.O.A.T” menampilkan transformasi paling berani Dolla apabila mereka meninggalkan imej glamor yang sinonim sebelum ini dan tampil dengan konsep yang lebih edgy, berkarakter serta berani.
Daripada penggayaan fesyen berimpak tinggi hinggalah visual sinematik, setiap elemen kreatif dalam projek ini membawa mesej yang jelas bahawa keyakinan bukan sesuatu yang perlu mendapat pengiktirafan daripada orang lain, sebaliknya lahir daripada diri sendiri.
“‘G.O.A.T’ adalah tentang keyakinan yang diperoleh hasil daripada segala usaha dan cabaran yang telah dilalui. Ia bukan sekadar tentang menjadi yang terbaik, tetapi tentang menghargai perjalanan yang membentuk siapa diri kami hari ini.
“Era ini benar-benar mencerminkan siapa kami sekarang, bukan sahaja sebagai individu tetapi juga sebagai DOLLA. Kami ingin menampilkan sisi yang lebih matang, lebih berani dan lebih yakin dengan identiti sendiri.
“Kami mahu orang melihat bahawa kami tidak takut mencuba sesuatu yang baharu dan sentiasa bersedia untuk melangkah lebih jauh,” tambah mereka lagi.
Dolla terus membuktikan mereka bukan sekadar mengikut arus, malah berani mencipta haluan sendiri.
Sebagai antara kumpulan wanita paling berpengaruh di Malaysia, “G.O.A.T” melambangkan fasa baharu yang memperlihatkan eksplorasi muzik dan identiti yang lebih berani, sekali gus mengangkat perjalanan seni mereka ke tahap seterusnya.
Anda mungkin berminat dengan
Lebih daripada sekadar sebuah single, karya ini menjadi simbol keberanian Dolla untuk terus berkembang, bereksperimen dan memperluaskan horizon muzik mereka.
Melangkah ke hadapan, Dolla menyifatkan “G.O.A.T” sebagai permulaan kepada satu era yang akan terus berkembang.
“Ini memang era yang kami teruja untuk teruskan. Peminat boleh menjangkakan lebih banyak persembahan, konsep-konsep menarik dan tentunya lebih banyak muzik baharu daripada kami.
“Kami juga tidak sabar untuk menjayakan persembahan di Paris Oktober ini, yang merupakan satu pencapaian besar buat DOLLA.
“Konsep ini benar-benar menggambarkan siapa kami hari ini, jadi peminat akan terus melihat sisi DOLLA yang lebih berani, lebih yakin dan lebih matang pada masa akan datang,” ujar mereka.
“G.O.A.T” kini boleh distrim di semua platform penstriman digital utama.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

