
Terus berkarya, duo Hip Hip Malaysia iaitu Kmy Kmo & Luca Sickta optimis menjayakan kolaborasi antarabangsa pertama bersama penyanyi sinden Indonesia, Niken Salindry menerusi lagu ‘Tinggi’.
Lagu yang dimuatkan dalam album terbaharu Kmy Kmo & Luca Sickta berjudul Gong ini menggabungkan rap Melayu dan vokal tradisional Jawa sebagai simbol penyatuan budaya Nusantara.
Karya tersebut mengangkat tema warisan, martabat, kenangan dan budi dalam dunia yang semakin menjauh daripada identiti budayanya.
Melalui lirik yang penuh makna serta alunan sinden yang unik, Tinggi mengingatkan bahawa sejarah, nilai dan kebaikan akan terus hidup meskipun kuasa, pangkat dan masa telah berlalu.
Menurut Kmy Kmo & Luca Sickta selaku komposer, single berkenaan lahir daripada hasrat untuk menghasilkan karya yang bukan sekadar menghiburkan, malah mengajak generasi muda menghargai akar budaya mereka.
“Kami percaya muzik ialah bahasa yang mampu menyatukan.
“Menerusi ‘Tinggi’, kami ingin menyampaikan bahawa kebesaran seseorang tidak diukur melalui kuasa atau harta, sebaliknya melalui budi, nilai dan warisan yang ditinggalkan.
“Kolaborasi ini juga membuktikan bahawa budaya Nusantara mampu terus berkembang tanpa kehilangan jati diri,” katanya.
Sementara itu bagi Niken Salindry pula, kolaborasi ini menjadi peluang istimewa untuk membawa seni sinden ke pentas yang lebih luas, di samping memperkenalkan kekayaan budaya Jawa kepada generasi baharu.
“Saya terus tertarik apabila mendengar konsep lagu ini. Mesej yang dibawakan sangat kuat dan selari dengan semangat memelihara budaya.
“Saya berbangga dapat menjadi sebahagian daripada karya yang mempertemukan muzik moden dengan tradisi, sekali gus mengeratkan hubungan budaya antara Indonesia dan Malaysia,” katanya.
Baca Artikel Lain;



Video Muzik Gambarkan Semangat Serumpun
Dalam pada itu, video muzik Tinggi turut menjadi antara tarikan utama projek ini.
Anda mungkin berminat dengan
Proses penggambaran dijalankan di TMII, Jakarta, dengan konsep produksi berskala besar yang melibatkan puluhan penari, tata artistik yang megah, pelbagai prop budaya serta busana tradisional yang diinspirasikan daripada kekayaan budaya Malaysia dan Indonesia.
Keseluruhan elemen visual dirancang bagi menggambarkan semangat serumpun Nusantara, memperlihatkan bagaimana dua negara yang berkongsi akar sejarah dan budaya yang sama mampu bersatu dalam sebuah karya muzik yang moden, megah dan sarat dengan makna.
‘Tinggi’ membawa mesej bahawa kebesaran sejati tidak diukur melalui kuasa atau kekayaan, tetapi melalui nilai yang kita pegang serta jejak kebaikan yang kita tinggalkan.
Lebih daripada sekadar sebuah lagu, ia juga menjadi simbol persahabatan, penghormatan terhadap budaya, serta harapan agar generasi masa kini terus memelihara warisan Nusantara melalui bahasa, muzik dan tradisi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

