
Penyanyi Adira Suhaimi menyifatkan ketiadaan anak-anaknya pada majlis resepsi perkahwinan bekas suami, Datuk Seri Adnan Abu, baru-baru ini bukanlah satu isu yang perlu diperbesarkan.
Menurut Adira, sebagai ibu, dia lebih mengetahui apa yang terbaik buat anak-anaknya dan berharap perkara itu tidak lagi dipanjangkan.

“Sebenarnya saya tak nak layan isu-isu seperti ini. Pada saya, buat masa sekarang, saya tak nak dengar lagi hal-hal seperti ini. Sebagai seorang ibu, saya tahu apa yang terbaik buat anak-anak saya.
“Isu tidak hadir ke majlis perkahwinan beliau itulah bukanlah isu yang penting atau patut diperbesarkan.
“Apa yang penting sekarang ini, saya masih lagi memberikan keizinan kepada anak-anak untuk berjumpa dengan beliau,” katanya kepada MH.
Adira berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media dan sesi penggambaran klip video Cinta Di Akhir Garisan 2.0 yang berlangsung di Istana Budaya pada Khamis.
Minta Ruang Jalankan Tanggungjawab Sebagai Ibu
Dalam pada itu, penyanyi lagu Pujaan Hati ini menegaskan dia sentiasa melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu dengan sebaik mungkin tanpa pernah menghalang hubungan anak-anak dengan bapa mereka.

“Untuk menjaga amanah empah orang anak ini, saya tak pernah mengusik atau menyusahkan sesiapa. Saya harapkan isu-isu seperti ini tidak mengganggu saya lagi.
“Bagilah saya mencari rezeki dan membesarkan anak-anak dengan tenang. Nak jaga mereka bukan mudah.
“Saya cari rezeki untuk menampung dari segi pendidikan, perlindungan, tempat tinggal, makan minum, pakaian dan kesihatan.
“Semuanya saya buat tanpa menyusahkan dan usik sesiapa. Jadi, saya minta jangan usik saya juga. Bagilah saya jalankan tanggungjawab sebagai ibu dan fokus pada kerjaya,” ujarnya lagi.
Harap Isu Peribadi Tidak Lagi Diperkatakan
Pada masa sama, Adira berharap isu berkaitan kehidupan peribadinya tidak lagi terus menjadi bualan memandangkan anak-anaknya kini semakin membesar dan sudah mampu membaca pelbagai perkara yang tular di media sosial.

“Anak-anak saya sudah besar dan mereka sudah boleh baca apa yang ada di internet. Kalau boleh, saya nak hentikan segala isu ini. Nyanyian adalah sumber rezeki saya.
Anda mungkin berminat dengan
“Saya tak usik sesiapa. Jadi, jangan usik saya,” akhirinya.
Terdahulu, Adnan atau lebih mesra disapa Datuk Red meluahkan rasa terkilan selepas anak-anaknya dikatakan tidak hadir ke majlis resepsi perkahwinannya bersama isteri, Rohanita pada 27 Julai lalu.
Untuk rekod, Adnan dan Adira mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 sebelum sah bercerai pada 24 April lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, Asan, Anggun dan Ayob.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

