
Selepas hampir sedekad menyepi daripada pentas teater, pelakon Karl Shafek kembali mengubat kerinduan apabila membintangi Teater Muzikal Tomyam Berdarah terbitan CTRA Production yang bakal dipentaskan pada 28, 29 dan 30 Ogos 2026 di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.
Menurut Khairul Shafek Ibrahim, 46, kali terakhir dia beraksi di pentas teater adalah menerusi naskhah Ombak Rindu pada 2018, juga di bawah terbitan CTRA Production.
Bagaimanapun, pandemik Covid-19 yang melanda dunia menyebabkan aktiviti pementasan terhenti seketika, sekali gus memperlahankan perjalanan karier seninya dalam bidang teater.
Selepas hampir setahun mencari naskhah yang sesuai untuk mengubat kerinduan terhadap dunia lakonan pentas, Karl tidak berfikir panjang apabila menerima tawaran membintangi Teater Muzikal Tomyam Berdarah.
Menerusi naskhah kali ini, dia membawa watak sebagai Chef Rahman iaiti pemilik Restoran Rahman Berkatmaju.
“Alhamdulillah, ketika mendapat tawaran daripada penerbit Siti Rohayah Attan, saya terus katakan ‘yes,! walaupun belum baca skrip dan tidak mengetahui jalan cerita serta butiran penuh teater ini kerana terlalu gembira apabila impian kembali ke pentas teater tercapai.
“Tambahan pula, ini bukan kali pertama. Jika diikutkan Teater Muzikal Tomyam Berdarah merupakan projek teater ketiga saya bekerjasama dengan CTRA Production selepas Ombak Rindu dan Tenggelamnya Kapal van der Wijck,” katanya.
Karl yang turut aktif mengusahakan perniagaan fesyen menerusi jenama Neonate serta produk makanan di bawah label Khalishbyks berkata, dia bukanlah seorang yang cerewet dalam soal pemilihan watak.
“Saya tak kisah diberikan watak utama ataupun sampingan kerana berpeluang menyertai pentas teater itu sudah cukup bermakna buat saya. Paling penting, dapat melepaskan rindu,” jelas anak kelahiran Pekan, Pahang itu lagi.
Misteri Pembunuhan Dalam Periuk Tomyam
Teater Muzikal Tomyam Berdarah merupakan sebuah pementasan muzikal interaktif bergenre satira jenayah yang menggabungkan elemen komedi gelap, siasatan dramatik dan naratif makanan tempatan.
Ia bukan sekadar mengisahkan tentang kematian, sebaliknya menyentuh kehidupan yang ‘direbus’ bersama harapan, dendam dan identiti, semuanya disajikan di dalam satu periuk tomyam.
Berlatarkan sebuah restoran yang sedang membuat persiapan untuk menyertai pertandingan Master Chef Universe, kekecohan tercetus apabila pemilik restoran, Chef Rahman, ditemui mati di dalam periuk tomyam warisannya sendiri.
Sejak detik itu, dapur bertukar menjadi lokasi jenayah, manakala setiap pekerja menjadi suspek kerana masing-masing mempunyai motif dan menyimpan rahsia.

Baca Artikel Lain;
Anda mungkin berminat dengan
Angkat Industri F&B, Sokong Agenda TVET
Pementasan ini turut menjadi salah satu bentuk sokongan terhadap usaha kerajaan yang berterusan memperkasakan serta mengasah kemahiran generasi muda dalam bidang kulinari menerusi sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sehingga ke tahap profesional.
Melihat landskap gastronomi yang semakin berkembang dan bidang masakan kini menjadi antara pilihan utama rakyat Malaysia, CTRA Production bersama Peran Opera mengambil inisiatif mengangkat industri makanan dan minuman (F&B) ke pentas menerusi Teater Muzikal Tomyam Berdarah.
Naskhah yang diarahkan oleh Aloeng Silalahi yang juga bertindak sebagai penulis skrip itu akan dipentaskan selama tiga hari berturut-turut di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor bermula 28 hingga 30 Ogos 2026.
Selain Karl Shafek, pelakon lain yang turut membintangi pementasan ini ialah Juhara Ayob.
Teater Muzikal Tomyam Berdarah akan dipentaskan pada 28, 29 dan 30 Ogos 2026, dengan dua sesi pementasan setiap hari iaitu pada pukul 3 petang dan 8.30 malam di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

