
Pelakon dan usahawan, Dazrin Kamarudin berpendapat status sebagai selebriti bukanlah tiket untuk mengabaikan undang-undang, lebih-lebih lagi apabila menganjurkan sesebuah acara.
Menurut Dazrin, 38, setiap urusan perlu dilakukan mengikut saluran yang betul selain mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa sebelum sesuatu program dijalankan.
“Memang idea saya banyak. Kalau orang cakap sesuatu itu tak boleh dibuat, saya akan cari jalan bagaimana nak jadikannya realiti. Tapi bila buat apa-apa pun, kita kenalah ikut peraturan.
“Jangan ingat kita selebriti, kita ini besar dan semua kita boleh langgar. Peraturan tetap peraturan. Jadi ikutlah peraturan yang ditetapkan.
“Kalau perlu mohon lesen, mohonlah lesen. Selagi saya tiada benda itu, saya takkan jalankan acara saya.
“Misalnya semalam saya ada niat nak bantu seorang busker, tapi kalau nak panggil busker ataupun ‘entertainer’ ataupun orang yang menyanyi, kita tetap perlu dapatkan lesen.
“Jadi permintaan itu tidak dapat saya penuhi memandangkan proses kelulusannya akan ambil masa, sedangkan acara yang anjurkan ini dah nak berjalan,” katanya.
Bintang drama My Darling, Inspektor Daniel itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis Weekend Fete Al Aqsa Carpets di Al Aqsa Carpets, Shah Alam, pada Sabtu.
Weekend Fete Al Aqsa Carpets yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat di pekarangan Al Aqsa Carpets Factory Outlet itu merupakan program perintis yang bertujuan mewujudkan ruang komuniti yang lebih aktif dan meriah.
Malah, ia diharap mampu memberi peluang kepada usahawan tempatan memperkenalkan produk serta mengembangkan perniagaan masing-masing.


Baca Artikel Lain;
Disiplin Lebih Penting Berbanding Populariti
Dalam pada itu, Dazrin berpandangan, mengambil risiko merupakan antara perkara penting dalam dunia perniagaan.
Namun ia perlu dilakukan dengan menghormati undang-undang serta badan pengawal selia.
“Kita memang kena berani ambil risiko, tapi dalam masa sama kena tahu akta-akta yang ada. Jangan langgar peraturan sebab kita mahu berbisnes dengan semua.
“Hormatlah semua badan yang mengawal selia. Kalau kita ikut peraturan, insya-Allah tak ada masalah untuk menganjurkan sesuatu acara.
“Alhamdulillah, setakat ini saya belum pernah berdepan masalah dengan pihak berkuasa dan memang tak mahu,” katanya lagi.
Mengulas sama ada status selebriti memberi kelebihan dalam urusan perniagaan, Dazrin mengakui populariti mungkin membuka peluang untuk bertemu pihak tertentu.
Anda mungkin berminat dengan
Akan tetapi, kejayaan sebenar bergantung kepada disiplin dan sikap menghormati peraturan.
“Menjadi selebriti, mungkin muka kita ini sebagai pembuka laluan. Sebab mungkin ada orang yang kenal.
“Tapi apa yang meletakkan kita dalam satu perniagaan ataupun dalam satu posisi yang kuat adalah disiplin dan juga cara kita menghormati satu sama lain. Jadi, ikut peraturan betul-betul.
“Misalnya, kalau kata nak pergi ‘meeting’ dengan satu badan, kita ketuk pintu sebagai tiket selebriti untuk kita berjumpa, mungkin itu okey.
“Tapi sudah tentu dalam ‘meeting’ itu nanti, kita kena tahu apa peraturan, apa yang jangan langgar, apa yang kena buat dan sebagainya.
“Tak ada istilah sebab kita selebriti, kita boleh langgar semua benda. Saya langsung tak percaya perkara itu,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

