
Selepas agak lama tidak tampil dengan karya solo baharu, penyanyi dan penulis lagu, ALVN, kembali mewarnai industri muzik tempatan menerusi single terbaharunya berjudul Syarat Cinta.
Lagu ini mengetengahkan tema cinta yang matang, tulus dan sederhana, sekali gus menandakan kemunculan semula ALVN dengan karya yang lebih dekat dengan realiti kehidupan.
Kemunculan Syarat Cinta turut mengundang pelbagai reaksi daripada peminat yang mula tertanya-tanya sama ada lagu tersebut mempunyai kaitan dengan kehidupan peribadi ALVN.
Malah, timbul juga spekulasi kononnya penyanyi itu kini sedang melalui fasa bahagia bersama seseorang yang istimewa.
Ditulis oleh ALVN bersama MsOrangelisa, Syarat Cinta membawa mesej bahawa cinta sejati tidak memerlukan syarat yang rumit atau terlalu banyak tuntutan.
Sebaliknya, cinta yang paling bermakna adalah apabila seseorang memilih individu yang sama setiap hari, melalui pelbagai fasa kehidupan sehingga ke hari tua.
Menurut ALVN, karya tersebut tercetus daripada pemerhatiannya terhadap makna cinta yang semakin berubah seiring pertambahan usia dan kematangan seseorang.
“Semakin kita dewasa, kita sedar cinta bukan lagi tentang perkara yang besar atau rumit.
“Kadang-kadang syarat cinta itu cuma satu, memilih orang yang sama setiap hari dan terus kekal bersama hingga ke penghujung usia,” katanya.
Dengan melodi yang tenang serta lirik yang dekat dengan realiti kehidupan, Syarat Cinta memperlihatkan sisi ALVN yang lebih matang daripada aspek penulisan dan penyampaian emosi.
Ia sekali gus menawarkan sebuah karya yang mudah dihayati oleh pelbagai lapisan pendengar.
Jadi Lagu Tema Drama
Lebih menarik, Syarat Cinta turut dipilih sebagai lagu tema rasmi (OST) drama terbaharu Viu Original, Ate Kome, I Love You! yang kini sudah menemui penonton.
Pemilihan lagu tersebut dilihat cukup bertepatan dengan jalan cerita drama berkenaan yang sarat dengan elemen kasih sayang, hubungan kekeluargaan dan pencarian makna cinta sebenar.
Projek ini diterbitkan oleh MsOrange Solutions Creative bersama Rhunut Music yang merangkumi keseluruhan penerbitan muzik dan muzik video.
Ia dibangunkan sebagai sebuah projek kreatif menyeluruh dengan gabungan elemen muzik, visual dan penceritaan yang saling melengkapi.
Baca Artikel Lain;

Anda mungkin berminat dengan
MV Angkat Nilai Komunikasi Ikhlas
Turut mencuri perhatian ialah muzik video (MV) Syarat Cinta yang menjadikan Kinokuniya Kuala Lumpur sebagai lokasi utama penggambaran.
Pemilihan lokasi tersebut bukan sekadar untuk elemen visual, malah menjadi sebahagian daripada naratif yang ingin disampaikan mengenai budaya membaca, penghargaan terhadap komunikasi yang ikhlas serta kepentingan meluangkan masa berkualiti bersama insan tersayang.
Menerusi visual yang dipenuhi elemen buku, nota dan tulisan tangan, muzik video ini menggambarkan bagaimana perasaan boleh disampaikan dengan cara yang sederhana tetapi cukup bermakna dalam dunia yang semakin dikuasai teknologi.
Secara keseluruhannya, Syarat Cinta bukan sekadar sebuah lagu romantik, tetapi sebuah karya yang meraikan hubungan manusia, nilai kesetiaan dan keindahan memilih untuk terus mencintai orang yang sama setiap hari.
Syarat Cinta kini boleh distrim di semua platform penstriman digital, manakala muzik video rasminya boleh ditonton menerusi YouTube.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

