
Pelakon dan usahawan sensasi, Rozita Che Wan, kini bergelar ibu mentua apabila anak sulungnya, Ammar Effendy Azuar Effendy, selamat diijabkabulkan dengan pilihan hati, Auni Ikhwan, dalam satu majlis penuh bermakna yang berlangsung hari ini.
Pasangan itu dinikahkan oleh wali yang juga bapa pengantin perempuan, Ikhwan Hashim, dengan sekali lafaz pada kira-kira jam 8.41 malam di GlamHall Damansara. Majlis akad nikah itu disaksikan Penolong Pendaftar Nikah dan Imam Masjid Damansara Perdana, Ustaz Abdus Salam Mahmud.
Mengambil keberkatan 10 Muharram, majlis bertemakan Garden Wedding itu dihadiri lebih 200 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga serta kenalan rapat kedua-dua mempelai.
Pada majlis berkenaan, Ammar menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 selain wang hantaran berbentuk jongkong emas.
Pasangan pengantin turut berbalas tujuh dulang hantaran, manakala upacara membatalkan air sembahyang disempurnakan dengan penyarungan cincin berlian 1.8 karat sebagai simbolik.
Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta tidak dapat menahan sebak saat melepaskan anak sulungnya memikul amanah besar sebagai seorang suami.
“Tetaplah bersama walau dalam keadaan tak sempurna dan apa sekalipun. Moga Ammar dapat menjadi suami yang melindungi dan bukannya ‘bossy’. Buat Auni, jadilah isteri yang mendampingi dan tidak sekadar menemani.
“Dalam berumahtangga ini, Ammar dan Auni kenalah berpegangan tangan dalam setiap keadaan. Janganlah melepaskan pegangan tangan itu di kala susah atau berdepan kegetiran.
“Dalam perkahwinan juga, kebahagiaan bukan mengenai pasangan yang tak diuji. Tetapi, pasangan yang bersama walaupun diuji,” katanya.
Nasihat Berdasarkan Pengalaman Hidup
Sebagai ibu dan wanita yang pernah melalui fasa perpisahan dalam perkahwinan pertamanya sebelum menemui kebahagiaan hari ini, Che Ta berharap Ammar dan Auni sentiasa berpijak di bumi nyata dalam melayari alam rumah tangga.
“Dalam hidup ini apatah lagi berumahtangga, pasti tak lepas diuji. Namun, cubalah untuk terus utuh di sisi masing-masing. Ada orang cakap tahun pertama, kedua dan seterusnya akan manis dan indah.
“Namun apabila sudah lama dan diserikan dengan kehadiran anak pula, pasti ada pelbagai ragam dan ujian. Tapi cubalah untuk terus bertolak ansur dan memahami. Perkahwinan ini bukan seperti menukar pakaian.
“Nescaya, akan timbul perkara tak diundang. Tapi jangan sesekali tikir jalan mudah untuk lari daripada apa saja godaan serta cabaran.
“Moga mereka akan sama-sama mewarnai keharmonian rumah tangga dengan penuh Sakinah, mawaddah dan warahmah,” katanya lagi.
Majlis Bertemakan Garden Wedding, Resepsi Esok
Menyentuh mengenai konsep majlis akad nikah, pelakon drama Kiah Pekasam itu berkata tema Garden Weddingdipilih hasil persetujuan kedua-dua keluarga dengan mengetengahkan konsep minimalis.
Ammar tampil segak dalam persalinan serba putih rekaan Man Kajang, manakala Auni pula anggun mengenakan busana serba putih hasil rekaan Zaimi Zulkifly.
Anda mungkin berminat dengan
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ahmad Fedtri Yahya sebagai pengerusi majlis, selain bacaan doa yang dipimpin oleh Pencetus Ummah (PU) Amin.
Terdahulu, pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 25 Oktober tahun lalu.
Ammar kini bertugas sebagai pegawai di sebuah institusi perbankan, manakala Auni pula bekerja di sebuah syarikat dalam bidang pemasaran.
Esok malam, pasangan mempelai bakal diraikan dalam sebuah majlis resepsi bertemakan Black Tie di sebuah hotel di I-City, Shah Alam. Majlis bertandang pula dijadual berlangsung pada 4 Julai depan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

