
Penyanyi Ernie Zakri terus mengukir pencapaian membanggakan apabila menerima Southeast Asia’s Music Icon Award 2026 di Top Asia Corporate Ball 2026 yang berlangsung di Grand Hyatt Hotel, Kuala Lumpur, malam tadi.
Pengiktirafan itu hadir selepas bintang itu meraih beberapa pencapaian membanggakan dalam tempoh 10 hari, termasuk peluang membuat persembahan bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron serta menerima anugerah Celebrity Entrepreneur of the Year di SEBA ASEAN Elites Edition 2025/2026.

Anugerah berkenaan diberikan sebagai pengiktirafan terhadap bakat vokal, kemampuan persembahan serta sumbangan Ernie dalam industri muzik, sekali gus menjadi satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan seninya.
Top Asia Corporate Ball yang dianjurkan RHA Media, penerbit Top 10 of Asia dan Top 10 of Malaysia, turut meraikan ulang tahun penganjurannya yang ke-11 pada tahun ini.

Acara tersebut menghimpunkan tokoh korporat, pemimpin perniagaan serta personaliti daripada pelbagai industri di Asia.
Ernie juga kini menyertai barisan selebriti yang pernah menerima pengiktirafan di platform berkenaan, antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk M. Nasir, Dato’ Sri Rossa, Afgan, Ruth Sahanaya dan Alan Tam.
Tiga Pencapaian Dalam Tempoh 10 Hari
Terdahulu pada 17 November lalu, Ernie berpeluang menyampaikan lagu klasik Perancis, La Vie en rose bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron dalam majlis jamuan rasmi yang dihoskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatan rasmi Presiden Perancis ke Malaysia.
Persembahan tersebut membawa suara dan seni Malaysia ke acara diplomatik berprofil tinggi, selain memperlihatkan bagaimana muzik mampu menjadi medium untuk merapatkan hubungan budaya antara negara.

Pada malam sama, Ernie turut menerima anugerah Celebrity Entrepreneur of the Year di SEBA ASEAN Elites Edition 2025/2026, sekali gus memperluas pencapaiannya di luar bidang muzik dengan mengiktiraf perkembangan serta pengaruhnya sebagai figura industri hiburan.
Terbaharu, Ernie sekali lagi diraikan apabila menerima Southeast Asia’s Music Icon Award 2026 di Top Asia Corporate Ball.
Rentetan tiga pencapaian dalam tempoh 10 hari itu memperlihatkan momentum kerjaya Ernie yang merangkumi persembahan di pentas diplomatik antarabangsa serta pengiktirafan dalam bidang keusahawanan selebriti dan muzik.
“Satu Amanah Besar…”
Mengulas mengenai pencapaian yang diraih, Ernie menyifatkan November sebagai antara bulan paling bermakna dalam kehidupan serta perjalanan kerjayanya.

Anda mungkin berminat dengan
“November ini menjadi antara bulan yang paling bermakna dalam hidup dan kerjaya saya. Dalam tempoh yang singkat, saya diberi peluang membuat persembahan bersama Presiden Perancis, menerima pengiktirafan di SEBA Awards dan kini Southeast Asia’s Music Icon Award.
“Saya masih cuba menghadam setiap pengalaman ini. Saya anggap semuanya sebagai rezeki dan amanah besar. Ia bukan sekadar tentang anugerah, tetapi peluang untuk terus berkembang sebagai anak seni Malaysia,” katanya.
Tambah Ernie lagi, pengiktirafan yang diterima turut menjadi dorongan untuk terus menghasilkan karya dan persembahan berkualiti, selain memperkenalkan muzik Malaysia kepada khalayak yang lebih luas.
Sokongan keluarga, pasukan pengurusan, rakan industri serta peminat juga menjadi antara elemen penting dalam perjalanan seni penyanyi itu.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

sekarang!

