Berita

“Dari Segi Persembahan, Saya Suka Yang Seadanya,” – Tak Salah Belanja Besar, M. Nasir Ulas Tentang AJL40

Share

Penyanyi dan komposer legenda, Datuk M. Nasir, mengakui beliau turut mengikuti perkembangan Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) yang menyaksikan pelbagai karya baharu dipertandingkan.

Menurut beliau, selain ingin mengetahui perkembangan semasa industri muzik tempatan, AJL40 turut menjadi platform buatnya menghayati lagu-lagu baharu yang hadir dengan kekuatan serta identiti tersendiri.

“Saya juga diheret untuk mengikuti perkembangan AJL40. Saya juga mahu cuba mendengar lagu-lagu baharu yang punyai kekuatan tersendiri.

“Saya okay dengan lagu-lagu yang menang itu. Namun, dari segi persembahan, saya suka yang seadanya. Itu adalah citarasa saya,” katanya kepada MH.

M. Nasir berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Magnum Opus M. Nasir Dekad ke-5 yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur, pada Selasa.

Belanja Besar Demi Persembahan, Tiada Salahnya

Dalam masa sama, M. Nasir memuji kesungguhan peserta yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan besar demi menghasilkan persembahan terbaik di pentas AJL.

“Mereka yang menang ini sanggup menggunakan bermacam-macam cara untuk mendapatkan kemenangan itu.

“Mereka harus berbelanja banyak menggunakan duit mereka sendiri untuk mendapatkan kelebihan berbanding peserta lain.

“Dengan cara itu, kita dapat menikmati pembaharuan,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan dirinya lebih menggemari persembahan yang menonjolkan kekuatan vokal dan penghayatan seseorang penyanyi tanpa terlalu bergantung kepada gimik atau elemen tambahan di atas pentas.

Kekuatan Penyanyi Lebih Penting Daripada Gimik

Menurut M. Nasir, seseorang penyanyi yang benar-benar memiliki aura tidak memerlukan gimik berlebihan untuk memikat penonton.

“Ada juga penyanyi yang buat persembahan dengan seadanya sahaja. Dia hanya menyanyi dan orang tetap akan suka walau macam mana pun cara nyanyiannya.

“Mereka tak perlukan gimik-gimik yang lain. Pada saya, menyanyi ini adalah satu seni yang bukan semua orang mampu buat. Ramai orang boleh menyanyi tapi tak semua orang boleh jadi ‘Penyanyi’.

“Hanya orang-orang tertentu sahaja boleh jadi penyanyi. Dia menyanyi sahaja sudah cukup. Itu yang orang nak tengok. Malah, ada juga orang suka kerana karya-karyanya.

“Orang tidak akan peduli lagi aspek-aspek lain pada persembahan. Mungkin kerana lagu-lagu itu disampaikan dengan semangat. Jadi, penonton lupa perkara lain yang ada di pentas. Itulah yang seni persembahan itu hidup,” kongsinya lagi.

Pada masa sama, M. Nasir berpandangan tiada salahnya peserta berbelanja besar untuk menghasilkan persembahan yang lebih menarik, selagi ia memenuhi kriteria pertandingan.

“Tidak salah pun nak berbelanja besar untuk sesebuah persembahan. Segalanya berbalik kepada kritiria peraduan itu sendiri. Jika peraduan itu membenarkan, ikut sahajalah.

“Pada saya, berbelanja besar itu perkara biasa. Bagaimanapun sesuatu persembahan itu dinilai dalam partandingan? Stesen tv pula memerlukan banyak aspek untuk mencantikkan program mereka,” akhirinya.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf