
Penyanyi dan komposer legenda, Datuk M. Nasir tetap yakin dengan keputusan pihak produksi memilih penyanyi dan pelakon Singapura, Aliff Aziz untuk membawakan watak Sultan Mansur Shah dalam pementasan Teater Muzikal Mansur & Liu.
Menurut M. Nasir yang juga pengarah bagi pementasan berkenaan, pemilihan Aliff dibuat berdasarkan bakat serta kesesuaiannya dengan watak tersebut, selepas mengambil kira pelbagai aspek.
Puji Kesungguhan Pelakon, Pilih Bersikap Rasional
M. Nasir berkata, beliau lebih menghargai individu yang menunjukkan komitmen tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab, selain memilih untuk berdepan setiap situasi secara rasional.

“Saya sebenarnya tak nak komen panjang. Saya suka dengan orang yang berkerja bersungguh-sungguh. Selalunya di dalam hidup ini, kita berdepan dengan pelbagai pilihan.
“Pilihan itu selalunya akan memberikan kita tekanan-tekanan. Namun, saya harap yang saya dapat hadapi situasi ini dengan fikiran yang rasional,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Suatu Masa itu berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Magnum Opus M. Nasir Dekad ke-5 yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur, pada Selasa.
“Yang Nak Boikot Mungkin Empat Orang Sahaja”
Mengulas mengenai gerakan boikot yang disuarakan segelintir netizen susulan kontroversi melibatkan Aliff sebelum ini, M. Nasir percaya pementasan tersebut tetap akan mendapat sokongan ramai.

“Yang nak boikot itu mungkin dalam empat orang sahaja. Yang selebihnya orang mungkin akan menyokong juga,” kongsinya lagi.
Dalam masa sama, beliau menegaskan pemilihan Aliff bukan dibuat secara sambil lewa, sebaliknya berdasarkan bakat dan keserasian pelakon itu untuk menghidupkan watak Sultan Mansur Shah.

“Kita kena lihat kepada bakat. Kita bukan suka-suka sahaja memilih barisan pelakon. Kita sudah ambil kira pelbagai aspek. Lagipun, saya baru sahaja kenal dengan Aliff.
Anda mungkin berminat dengan
“Bagi saya, dia memang cocok untuk bawakan watak itu,” akhirinya.
Sebelum ini, M. Nasir mengumumkan bakal mementaskan Teater Muzikal Mansur & Liu, sekali gus memperkenalkan Aliff Aziz sebagai watak Sultan Mansur Shah yang akan bergandingan dengan Melinda Dadew sebagai Liu.
Bagaimanapun, pengumuman tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen susulan kontroversi yang pernah membabitkan Aliff sebelum ini.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

