
Pelakon filem Telugu, Kalpika Ganesh, kini berdepan siasatan pihak berkuasa selepas didakwa mencetuskan kekecohan di sebuah pub mewah di Hyderabad apabila dia enggan melunaskan bayaran bil serta bertindak agresif terhadap kakitangan premis.
Insiden yang berlaku pada 29 Mei lalu itu dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati pelakon berkenaan apabila pihak pengurusan tidak membenarkannya membawa kek hari jadi dari luar.
Menurut laporan yang dibuat oleh pengurusan Prism Pub, Kalpika dikatakan bertindak di luar kawalan dengan membaling pinggan, merosakkan kemudahan premiss elain memperlekehkan bentuk tubuh pekerja serta melemparkan kata-kata kesat.
Apa yang lebih memburukkan keadaan, pelakon itu dikatakan masih tidak memberi kerjasama walaupun pihak polis telah tiba bagi meredakan situasi.
Rakaman video menunjukkan pertelingkahan antara Kalpika dan kakitangan pub tersebut kini tersebar luas di media sosial, sekaligus mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.
Berikutan laporan yang diterima, polis Gachibowli telah mendaftarkan kes terhadap Kalpika di bawah Seksyen 324(4), 352 dan 351(2) Kanun Bharatiya Nyaya Sanhita (BNS), dengan kebenaran daripada pihak mahkamah.
Kalpika Ganesh mula menempa nama dalam industri filem Telugu menerusi filem sulungnya Prayanam pada tahun 2009.
Sejak itu, beliau kerap muncul dalam watak sampingan dalam beberapa filem box office seperti Orange, Julayi, Seethamma Vakitlo Sririmalle Cheetu, Padi Padi Leche Manasu, HIT: The First Case serta Yashoda.
Kali terakhir beliau muncul di layar perak adalah menerusi filem Atharva pada tahun 2023. Selain berlakon dalam filem, Kalpika turut membintangi dua siri web popular di platform Zee5 iaitu Ekkadiki Ee Parugu dan Loser.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI