
Pereka fesyen terkenal tanah air, Datuk Jovian Mandagie, dilaporkan akan memberi keterangan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jakarta, Indonesia hari ini.
Difahamkan, pasukan penyiasat SPRM akan berada di ibu negara Indonesia itu selama dua hari bagi tujuan tersebut memandangkan lokasi tersebut merupakan tempat di mana Jovian menetap kini.
Jovian, 39, yang juga merupakan bekas menantu kepada Perdana Menteri Malaysia ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dipanggil sebagai saksi penting dalam siasatan membabitkan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan tokoh politik itu.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan Jovian dinamakan sendiri oleh Ismail Sabri ketika memberi keterangan untuk mengesahkan aset-aset yang telah diisytihar kepada agensi tersebut.
BACA JUGA: “Kami Percaya Perancangan Allah,”- Jovian Mandagie & Nina Ismail Sabri Umum Cerai
SPRM kini sedang menganalisis semua aset berkenaan susulan jumlah sumber pendapatan yang dimiliki oleh Ismail Sabri yang agak besar melibatkan kerjaya dalam sektor swasta serta pemilikan beberapa syarikat sebelum menyertai pentadbiran kerajaan.
Untuk rekod, siasatan juga melibatkan aspek perbelanjaan dan dana berkaitan promosi Program Keluarga Malaysia ketika Ismail Sabri menjawat jawatan Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Imbas kembali, Jovian berkahwin dengan anak sulung Ismail Sabri, Nina Sabrina, pada 14 Disember 2013 sebelum bercerai pada 2023. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia 8 tahun.
Jovian memulakan kerjayanya sebagai seorang pereka fesyen pada tahun 2006 dan berjaya mengukuhkan namanya sebagai antara jenama fesyen paling berpengaruh di Malaysia sebelum mengambil keputusan untuk menutup operasi pada pertengahan tahun lalu.
Sumber: Utusan Malaysia, Berita Harian
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI