
Pelakon dan penyanyi, Amira Othman mengakui dirinya kini semakin selesa menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu sebagai seorang ibu.
Menurut Amira, rutin sebagai ibu menuntut dirinya supaya lebih bijak menguruskan masa kerana dalam kesibukan memenuhi tuntutan kerjaya, dia juga perlu memastikan keperluan anak kesayangannya, Jarir Umar, sentiasa terjaga.

“Saya rasa sama seperti ibu-ibu yang lain. Saya perlu bergegas ke sana sini dan dalam masa sama, perlu menjaga anak. Apapun, saya sangat gembira dengan perjalanan ini.
“Dalam masa sama, ada banyak perkara yang saya belajar. Mudah-mudahan anak saya Jarir Umar sentiasa sihat dan saya dapat membahagikan masa dengan baik diantara kerjaya dan keluarga,” katanya kepada MH.
Isteri kepada pelakon, Fattah Amin itu berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) di Royale Chulan, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Nikmati Fasa Baharu Sebagai Ibu
Sementara itu, Amira turut mengakui sehingga kini dia masih tidak dapat melupakan momen ketika melahirkan Jarir pada 23 Jun lalu.

“Sampai sekarang saya masih ingat perasaan itu. Memang benarlah pepatah ‘syurga di bawah tapak kaki ibu’. Prosesnya bukan mudah. Perjalanan setiap ibu itu berbeza.
“Antara soalan yang selalu saya terima adalah adakah saya bersalin normal atau pembedahan dan adakah saya menyusu badan atau formula.
“Apapun, saya tetap bercakap dengan mereka, kesemua ibu mahukan yang terbaik untuk anak-anak.
“Tak kisahlah bagaimana prosesnya, asalkan kita dapat bagi anak kita kenyang, lindungi mereka dan melahirkan mereka dengan sihat, kita sudah buat yang terbaik. Ini fasa baharu dalam hidup saya,” ujarnya.
Belum Tiba Masa Dedah Wajah Anak
Mengulas mengenai keputusan dia dan suami yang masih belum berkongsi wajah anak kepada umum, Amira menjelaskan mereka akan berbuat demikian apabila tiba waktu yang dirasakan sesuai.

“Saya hanya ikut keputusan Fattah sahaja. Bila Fattah rasa sudah boleh dedahkan wajah anak, kita akan kongsikan.
“Lagipun, kita bukan nak sembunyikan anak, pada usia sekarang, rasanya tak perlulah dedah terlalu berlebihan. Ini juga untuk kebaikkan.
“Insya-Allah, bila waktu yang sesuai nanti, kita akan kongsikan juga. Biarlah dia melalui fasa kanak-kanak ini seperti kanak-kanak yang lain.
“Semoga Jarir sentiasa dipelihara. Maklumlah ibu ayahnya ada banyak haters. Janganlah libatkan dia. Saya berdoa agar anak saya dilindungi daripada perkara-perkara yang tidak baik,” ujarnya lagi.
Anda mungkin berminat dengan
Dalam pada itu, Amira turut menyifatkan Fattah sebagai bapa yang sangat penyayang dan perkara itu jelas dapat dilihat menerusi hubungannya bersama anak sulung, Nur Fatima Aisha.

“Fattah seorang ayah yang sangat penyayang. Kita boleh lihat bagaimana Fattah menyayangi Fatima. Mereka ada ikatan yang sangat baik dan rapat. Begitulah dia bersama Jarir juga.
“Fattah sangat penyayang dengan anak-anaknya. Sama juga seperti bapa-bapa yang lain. Tiada beza pun rasanya. Itulah lumrah seorang ayah,” akhirinya.
Imbas kembali, Amira dan Fattah telah mendirikan rumah tangga pada 14 September 2025 dan Amira selamat melahirkan cahaya mata pertama mereka pada 23 Jun lalu.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

