
Pelakon dan penyanyi, Elizabeth Tan teruja untuk berkongsi pengalaman menjalani prosedur persenyawaan in-vitro (IVF) bersama peminat menerusi platform media sosial miliknya.
Menurut Elizabeth, dia kini sedang membuat persiapan untuk menjalani prosedur pemindahan embrio yang dijangka akan dilakukan pada tahun hadapan.

“Sudah tentu saya ingin kongsikan perjalanan itu bersama peminat. Ini juga murapakan satu perjalanan yang sangat besar dalam hidup saya.
“Apa yang belum saya kongsikan, saya akan jalani prosedur pemindahan embrio pada tahun hadapan. Tahun ini, saya akan keluarkan dahulu telur saya dan akan disenyawakan.
“Kemudian mereka akan simpan dahulu sehingga tahun hadapan,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Knock Knock itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem terbaharunya, Pemuja Syaitan di 10 Star Cinema, Hextar World, Petaling Jaya pada Selasa.
Fokus Kepada IVF Selepas Selesai Projek Filem
Katanya lagi, dia akan memberikan sepenuh tumpuan terhadap proses IVF sebaik sahaja selesai menjalani sebuah projek filem berskala besar pada tahun hadapan.

“Saya mahu jalani dahulu penggambaran sebuah filem besar yang betul-betul saya suka.
“Sebelum ini, saya ada berfikir juga sama ada saya mahu jalani prosedur itu dahulu atau berlakon filem.
“Namun, saya buat keputusan untuk berlakon filem itu dahulu. Itu adalah keutamaan saya. Selepas habis penggambaran, saya akan teruskan prosedur pemindahan embrio itu,” ujarnya lagi.
Mengulas mengenai persediaan fizikal untuk menjalani prosedur IVF, Elizabeth memaklumkan dirinya akan mengikuti segala nasihat yang diberikan oleh doktor.

“Sebelum ini, ketika saya keguguran, saya sepatutnya menjalani proses berpantang tapi saya tak ikut sangat. Mungkin kali ini saya perlu ikut betul-betul kaedahnya.
“Selepas keguguran kali kedua, saya tidak datang haid hampir setahun. Saya tak tahulah apa sebabnya atau mungkin kesan daripada tidak menjaga pantang.
“Mungkin hormon saya tidak seimbang. Baru beberapa bula lepas, haid saya kembali normal,” kongsinya lagi.
Jalani Proses IVF Secara Perlahan-Lahan
Bagaimanapun, Elizabeth memaklumkan dia tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi, sebaliknya hanya mahu menikmati setiap proses sepanjang perjalanan IVF tersebut.

“Saya rasa agak teruja juga. Bagaimanapun, tiada orang yang nak buat IVF ini sebagai pilihan pertama. Kalau boleh, semua orang nak punyai anak secara normal.
Anda mungkin berminat dengan
“Saya juga tak nak terlalu teruja atau meletakkan sebarang harapan tinggi. Saya pernah buat prosedur IUI sebanyak dua kali tapi tetap tak lekat.
“Saya tidak mahu ada harapan kerana IVF tidak 100% akan berjaya. Saya hanya jalani proses itu secara perlahan-lahan hari demi hari,” akhirinya.
Sekadar informasi, Elizabeth telah mendirikan rumah tangga bersama pilihan hatinya, Dr. Siew Jim Ding pada 21 Mac 2021.
Dalam perkembangan lain, Elizabeth bakal membintangi filem seram Pemuja Syaitan yang juga merupakan naskhah filem pertama arahan Liyana Jasmay.
Filem berkenaan menampilkan Zul Ariffin sebagai pelakon utama yang turut dibarisi pelakon lain seperti Nadhir Nasar dan Aila Azizul.
Diterbitkan oleh Mermaid Studios bersama Suraya Filem Production & Distribution, Pemuja Syaitan bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 15 Oktober depan.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

