
Bukan sedikit pandangan serong yang dilemparkan terhadap usahawan dan pempengaruh, Diva M apla kisah silam, penampilan serta perjalanan hidupnya kembali diungkit sekaligus menjadi bahan kecaman di media sosial.
Namun, di sebalik segala kontroversi dan persepsi tersebut, Diva M atau nama sebenarnya, Mohd. Muzakir memilih untuk tidak terlalu memikirkan hal berkenaan.
Sebaliknya dia hanya mahu fokus terhadap perniagaan salun rambut dan sambal yang diusahakan, selain berusaha untuk terus berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan setiap Jumaat, mengikut kemampuan.
Terbaharu, dia hadir meluangkan masa bersama 112 penghuni Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras sempena cuti persekolahan yang turut disertai ‘team’ Diva Hair Salon.
Bukan sekadar hadir menyampaikan sumbangan, Diva M turut membawa hidangan makan tengah hari lengkap dengan pencuci mulut untuk dinikmati bersama penghuni rumah kebajikan berkenaan.
“Orang boleh pandang saya macam-macam. Saya pun ada kisah silam dan saya tak boleh ubah apa yang sudah berlaku.
“Tetapi kalau ada kesempatan dan rezeki, memang saya cuba jadikan hari Jumaat sebagai hari untuk berkongsi dengan orang lain.
“Sebelum ini kami pernah ke masjid dan rumah warga emas. Kali ini kebetulan dalam musim cuti sekolah, jadi kami memilih untuk datang bertemu dan makan tengah hari bersama anak-anak di sini,” katanya.


Diva Kongsi Rezeki Ikut Kemampuan
Menurut Diva M, aktiviti kebajikan seperti itu bukan dilakukan untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap dirinya, sebaliknya sebagai amalan yang mahu diteruskannya selagi berkemampuan.
“Saya tak boleh paksa orang untuk suka atau fikir baik tentang saya. Itu hak masing-masing. Apa yang penting, kalau saya ada kemampuan untuk buat sesuatu yang baik, saya buat.
“Tak semestinya tunggu kita kaya atau ada banyak baru hendak berkongsi. Apa yang kita mampu, kita berilah,” katanya lagi.
Namun, kunjungan itu tidak berakhir dengan jamuan makan tengah hari semata-mata.
Diva M turut menawarkan khidmat gunting rambut secara percuma kepada kesemua 112 penghuni Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras di Diva Hair Salon, Kota Damansara secara berterusan.
Menurutnya, penghuni rumah kebajikan itu boleh mendapatkan perkhidmatan berkenaan tanpa sebarang bayaran apabila diperlukan.
“Saya beritahu pihak rumah, kalau anak-anak di sini perlukan khidmat gunting rambut, mereka boleh datang ke salun.
“Ini bukan untuk sekali sahaja. Selagi kami masih beroperasi dan mampu memberikan perkhidmatan itu, kami akan buat secara percuma. Saya mahu mereka tahu pintu salun kami sentiasa terbuka untuk mereka,” katanya.
Baca Artikel Lain;

Hulur Bantuan Tanpa Mengharap Penilaian
Sementara itu, Pengetua Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Jamaluddin Wahab berkata, pihaknya menghargai kesudian Diva M dan pasukannya meluangkan masa bersama penghuni rumah kebajikan berkenaan.
Anda mungkin berminat dengan
“Kami berterima kasih atas kesudian Diva M dan pasukannya datang menyantuni anak-anak di sini, selain membawa makanan untuk dinikmati bersama.
“Pihak kami juga menghargai tawaran beliau untuk menyediakan perkhidmatan gunting rambut secara percuma kepada anak-anak di bawah jagaan kami. Bantuan seperti ini sedikit sebanyak dapat membantu keperluan mereka dari semasa ke semasa,” katanya.
Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras yang ditubuhkan pada 2007 menempatkan anak yatim, yatim piatu serta golongan asnaf.
Ketika ini, rumah kebajikan itu dihuni seramai 112 kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun, terdiri daripada 61 lelaki dan 51 perempuan.
Sebelum ini, Diva M bersama pasukan Diva Hair Salon turut mengadakan aktiviti kebajikan di Rumah Seri Kenangan Cheras dengan menyediakan khidmat gunting rambut percuma kepada warga emas.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

