
Pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad menyifatkan melihat rakan penyampainya di ERA FM, Bella Astillah semakin matang dalam membuat persediaan untuk melangkah ke alam rumah tangga bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Nabil berkata, sepanjang hampir tujuh bulan Bella menyertai segmen 3 Pagi ERA FM, dia melihat perjalanan dilalui pelakon dan penyanyi itu, terutama ketika mengharungi fasa sukar sebelum akhirnya sah bertunang dan bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.
“Daripada apa yang kita sudah nampak dan lalui, saya rasa Bella sudah semakin matang.
“Malah, tempoh hari Bella ada bertanya, ‘bang, macam abang dengan Zira ini sudah 15 tahun, Pak Azad (rakan penyampai) pun sudah 14 tahun, 15 tahun,” katanya.
Nabil berkatq demikian ketika ditemui pada pelancaran kempen Beli Kain Dapat Emas 2026 anjuran Jakel di Jakel Mall, Kuala Lumpur, pada Jumaat.



Baca Artikel Lain;
Bella Minta Pandangan Mengenai Rumah Tangga
Berkongsi lanjut, Nabil yang juga bapa kepada tiga cahaya mata berkata, Bella turut meminta pandangan dan nasihatnya mengenai rumah tangga, termasuk cara memahami kaum lelaki.
“Dia tanya pandangan dari sudut lelaki. Jadi, saya cakap dengan dia, lelaki ini kadang-kadang kena beri ruang juga. Bella kena jadi seseorang yang sentiasa menyokong dan sebagainya.
“Tetapi apa yang kita nasihatkan itu, saya rasa dia sudah buat. Dia memang sedang buat. Cuma ujian tetap akan datang. Dalam apa-apa perkahwinan pun, ujian tetap akan datang.
“Jadi, apabila ujian itu datang, kita kena sentiasa bersedia. Mungkin kita perlu sentiasa bersedia dalam apa juga keadaan,” katanya lagi.
Mengulas mengenai persiapan perkahwinan Bella dan Syed Saddiq, Nabil mengakui dia gembira melihat perubahan positif dalam kehidupan rakan penyampainya itu.
“Saya gembira sebab Bella sudah bersama kami di 3 Pagi ERA FM berbulan-bulan. Saya rasa hampir enam bulan lebih, mungkin dekat tujuh bulan.
“Jadi, sepanjang tempoh itu, kita nampak perjalanan dia dari awal sampai ke majlis pertunangan dan sekarang sudah nak berkahwin. Memang sangat-sangat gembira untuk dia,” katanya.
Makin Ceria, Asyik Cerita Mengenai Kahwin
Tambah Nabil lagi, dia bersama rakan penyampai lain seperti Pak Azad dan Radin turut dapat melihat Bella kini lebih ceria berbanding ketika awal menyertai mereka di stesen radio berkenaan.
“Tengok dia sekarang semakin gembira sebenarnya. Saya masih ingat ketika kali pertama dia masuk dulu, ada minggu-minggu yang dia nampak agak ‘down’ kerana sebagai manusia ini ada masa kita rasa tidak begitu baik.
“Tetapi sekarang ini apabila dia masuk konti, hanya bercerita mengenai kahwin saja.
Anda mungkin berminat dengan
“Jadi, sebagai abang, saya, Pak Azad dan Radin, bila tengok dia macam itu, memang kita raikan. ERA FM buat apa yang patut. Kami jadi ‘groomsmen’ untuk dia semalam” katanya.
Ditanya mengenai tugas atau peranan yang bakal dilakukannya pada hari bahagia Bella dan Syed Saddiq, Nabil bagaimanapun memilih untuk merahsiakannya buat masa ini.
“Kena tunggu 10 Oktober ini, tak boleh beritahu,” katanya ringkas.
Sebelum ini, Syed Saddiq Bella mengesahkan bakal disatukan sebagai suami isteri pada 10 Oktober depan.
Majlis pernikahan mereka akan berlangsung di aras 118, Menara Merdeka Maybank, di sini, dengan konsep serba putih disulami elemen Arab atau Islamik atas permintaan keluarga.
Syed Saddiq dan Bella dilaporkan mula berkenalan dengan lebih rapat pada 2025 sebelum mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

