
Pelakon Adam Corrie Lee tampil menitipkan pesanan khusus buat kaum wanita mengenai kepentingan meletakkan batas dalam berkongsi hal peribadi.
Menerusi satu hantaran di Threads, Adam mengingatkan agar tidak terlalu terbuka menceritakan semua perkara tentang diri sendiri, misalnya kepada individu yang dianggap rapat.
Pada pendapatnya, walaupun seseorang itu berjanji untuk menyimpan rahsia, masih ada perkara yang wajar disimpan sendiri demi menjaga diri pada masa hadapan.
“Pesanan dari seorang lelaki buat kaum Hawa. Bila dah rapat dengan seseorang, jangan cerita semuanya tentang diri kita.
“Walaupun dia berjanji untuk simpan, tetaplah ada perkara yang perlu kita rahsiakan.
“Kita tak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan. Hari ini rapat, esok mungkin berubah kerana salah faham.
“Bukan tak percaya pada kawan, tetapi kita perlu belajar menjaga diri. Tidak semua perkara perlu diceritakan. Rahsia paling selamat ialah yang kita simpan sendiri,” kongsinya.

Hubungan Boleh Berubah
Dalam hantaran berasingan, pelakon filem KL Gangster itu menegaskan, hubungan sesama manusia boleh berubah pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi apabila timbul konflik atau salah faham.
Tambah Adam, terdapat banyak contoh yang dapat dilihat di media sosial apabila rahsia yang suatu ketika dahulu dijaga akhirnya didedahkan selepas hubungan menjadi renggang.
“Banyak contoh yang kita boleh lihat sendiri di media sosial. Waktu masih rapat, semua rahsia dijaga.
“Sama-sama ketawa, sama-sama berkongsi cerita. Sampai kita rasa, ‘Dia ni aku boleh percaya’.
“Tapi bila hubungan mula retak, bergaduh atau tersalah cakap sedikit, satu demi satu cerita yang pernah dikongsi atas dasar kepercayaan mula dibuka kepada orang lain.
“Lebih menyedihkan apabila cerita itu digunakan untuk memburukkan kita dan membuatkan orang lain turut membenci kita,” tulisnya lagi.

Baca Artikel Lain;
Berkawanlah Dengan Baik, Tetapi Ada Batas
Mengulas lanjut, bapa kepada seorang cahaya mata itu turut menasihatkan setiap individu, khususnya kaum wanita, supaya tidak terlalu terbuka dalam menceritakan segala perkara berkaitan diri sendiri.
Beliau menegaskan, kepercayaan perlu disertai dengan kebijaksanaan dalam menetapkan batas, memandangkan manusia dan hubungan boleh berubah mengikut keadaan.
Anda mungkin berminat dengan
“Sebab itu jangan terlalu yakin dengan ayat, ‘Jangan risau, aku takkan cerita dekat sesiapa’. Manusia boleh berubah.
“Hubungan juga boleh berubah. Berkawanlah sebaik mungkin, tetapi tetap ada batas.
“Ada perkara yang boleh dikongsi, dan ada perkara yang cukup kita sahaja yang tahu.
“Kerana apabila rahsia sudah keluar daripada mulut kita, kita tidak lagi mempunyai kuasa untuk menentukan di mana cerita itu akan berhenti,” akhirinya.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

