
Pelakon dan pelawak, Zizan Razak mengakui dirinya turut terhibur apabila foto-fotonya menjadi tular di media sosial yang disunting dalam pelbagai versi lucu oleh netizen.
Menurut Zizan, pada awalnya dia sendiri tidak memahami mengapa namanya tiba-tiba menjadi bualan ramai sebelum dimaklumkan mengenai trend tersebut.

“Ketika hari pertama trend itu viral, saya pun tak faham apa yang berlaku. Tiba-tiba ramai yang minta saya lihat platform media sosial. Bila saya lihat di Threads, ramai yang berkongsi gambar-gambar saya.
“Sejujurnya saya gembira dan menikmati sahaja momen itu. Saya pun rasa trend itu sangat lucu,” katanya kepada MH.
Bintang Raja Lawak musim pertama itu berkata demikian ketika ditemui pada sidang media filem Terbang yang berlangsung di Carfe, Petaling Jaya pada Rabu.

Ada Batas Dalam Bergurau
Bagaimanapun, Zizan menjelaskan terdapat beberapa suntingan yang disifatkannya sudah melampaui batas, termasuk gambar yang diubah menjadi wanita serta mengenakan pakaian keagamaan yang tidak berkaitan dengan agamanya.

“Namun, bila ada yang ubah gambar saya menjadi wanita, saya rasa itu tidak kena.
“Saya bekerja di bidang televisyen dan ia ada batas-batasnya. Dahulu, ketika di program lawak, memang ada saya berpakaian wanita. Namun, bila kita semakin matang, kita tahu apa halal dan haram.
“Ada juga yang buat saya jadi ‘nun’. Itu bukan agama saya. Saya rasa tindakan itu tidak elok,” ujarnya lagi.
Tegas Tolak Imej Diguna Untuk Bisnes Tanpa Izin
Dalam pada itu, Zizan turut menegur tindakan segelintir pihak yang menggunakan imejnya bagi tujuan mempromosikan perniagaan tanpa mendapatkan kebenaran terlebih dahulu.
Jelasnya, dia tidak mempunyai masalah jika peniaga kecil menggunakan gambarnya sekadar untuk hiburan, namun situasinya berbeza apabila syarikat besar mula mengambil kesempatan.

“Kemudian, ada peniaga kecil yang turut guna gambar saya. Saya okay sahaja. Namun, bila ada syarikat-syarikat besar yang turut guna gambar saya, lain pula jadinya.
“Saya tak nak saman menyaman kerana ia bakal menjadikan situasi itu tidak best. Jadi, lebih baik saya keluarkan kenyataan. Saya harap yang lain pun akan faham.
“Saya berlaku tegas dalam senyuman. Kalau ada yang gunakan gambar saya tanpa izin, nanti orang percaya yang saya duta pula. Pada saya, itu perbuatan haram.
“Kalau nak meniaga, kita tak boleh nak menipu orang. Saya rasa tidak adil. Jangan ambil kesempatan. Nak buat lucu, berpada-pada. Kalau nak buat bisnes, kita boleh bincang. Kita ada etika,” kongsinya lagi.
Anda mungkin berminat dengan
Meskipun masih memilih pendekatan berhemah, Zizan tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang sekiranya isu tersebut terus berlarutan.

“Kalau melampau sangat, sudah tentu saya akan ambil tindakan. Ketika ini, saya masih baik hati. Kalau ikut undang-udang, saya boleh sahaja ambil tindakan.
“Malah, ada di antara mereka juga merupakan kawan-kawan saya. Padahal, mereka sepatutnya boleh minta izin. Saya rasa tindakan itu seperti tiada adab.
“Saya hanya tersenyum tapi cubalah hormat saya. Nak saman, boleh sahaja tapi saya masih waras. Kalau saya nak ambil untung dengan saman, ia akan merosakkan hubungan dan reputasi bisnes mereka.
“Biarlah saya buat teguran rambang dahulu. Semoga mereka semua faham sendiri,” akhirinya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

