
Pasangan selebriti, Awal Ashaari dan Scha Alyahya bakal memanfaatkan pengalaman luas dalam dunia pengacaraan apabila diumumkan sebagai hos sesi penstriman langsung di platform e-dagang tempatan, JAM.
Menurut Awal, dia menyedari terdapat segelintir hos siaran langsung yang memilih pendekatan dengan bersuara lantang bagi menarik perhatian penonton ketika mempromosikan produk.
Menghormati cara masing-masing, Awal bagaimanapun berpendapat kaedah sedemikian tidak semestinya berkesan dalam jangka masa panjang kerana boleh menyebabkan penonton cepat berasa bosan.

“Bila sudah lama berada di dalam industri, kita sudah ada sedikit pengalaman. Mungkin bagi sesetengah produk, mereka mahu hos mereka bertindak lantang.
“Ada kalanya, bila tengok media sosial, kedengaran macam bingit.
“Walaupun bingit, kita nak tengok juga apa yang mereka jual. Secara tidak langsung, ia boleh menarik juga minat penonton,” katanya kepada MH.
Awal berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran studio baharu serta pengumumannya dan isteri sebagai pengasas bersama platform e-dagang penstriman langsung, JAM, baru-baru ini.
Meskipun sudah mempunyai kelompok peminat tersendiri, Awal mengakui dia dan Scha tetap perlu mencari mekanisme yang berkesan untuk memastikan penonton terus setia mengikuti sesi siaran langsung mereka.
Menurutnya, cabaran terbesar adalah untuk mengekalkan perhatian penonton sepanjang tempoh siaran yang berlangsung hampir dua jam tanpa kehadiran penonton secara fizikal.

“Dengan adanya saya dan Scha, kita tak perlu buat sebegitu. Bila mereka nampak kami, mungkin ada yang nak tengok juga walau pun sekejap.
“Tapi kalau sesinya menarik, mungkin ada yang akan terus tengok. Kami mungkin sudah ada kelebihan itu. Jadi, kami tak perlu buat perkara merepek untuk menarik perhatian orang.
“Alhamdulillah, kami diberikan kelebihan sebagai selebriti. Nak tak nak, orang akan tengok juga. Namun, selepas beberapa minit, orang akan bosan juga.
“Di situlah bermulanya cabaran sebagai hos acara langsung. Saya kena bersiaran selama dua jam. Dulu pernahlah masa buat AJL. Kali ini kena ‘live’ selama dua jam tanpa penonton,” ujarnya lagi.
Kehidupan Sebenar Tak Seperti Disangka
Dalam perkembangan sama, Awal turut menepis tanggapan segelintir pihak yang beranggapan dirinya hanya menggunakan barangan berjenama dalam kehidupan seharian.
Jelasnya, dia dan keluarga menjalani kehidupan seperti orang lain dengan mengutamakan kualiti sesuatu produk, tanpa mengira sama ada harganya mahal atau murah.
Menurut Awal, apa yang dipaparkan di media sosial lebih banyak berkaitan urusan kerja dan bukannya gambaran keseluruhan gaya hidupnya.

Anda mungkin berminat dengan
“Dalam platform ini, kita tiadalah barang yang terlalu murah atau produk timbang kilo. Ia lebih kepada produk yang kita pakai dan percaya.
“Di rumah saya, tidaklah semua barang berjenama atau lima bintang sahaja. Ada sahaja produk-produk lain yang saya tidak tunjuk.
“Saya pergi kedai serbaneka tapi orang tak tahu. Mungkin mereka hanya ingat kami ini beli barang dapur di pasaraya berjenama sahaja. Saya pun pergi pasaraya biasa dan kedai RM2.
“Apa yang kami tunjuk di media sosial, hanyalah hal kerja sahaja. Sama ada makan jajan RM2, orang tak tahu. Tiada keperluan saya nak kongsikan di media sosial,” akhirinya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

