Categories: Berita Hiburan

“Terima Kasih Tak Halang Ibu Terbang Tinggi…,” – Seth Tunjuk Ucapan ‘I Love You Mama’, Shila Amzah Sebak Anak-Anak Jadi Kekuatan

Share

Dewan Filharmonik Petronas (DFP) Kuala Lumpur malam tadi bukan sahaja bergema dengan persembahan hebat penyanyi Shila Amzah, malah turut menjadi pentas penuh emosi yang menyaksikan penghargaan kasih sayang antara seorang ibu dan anak-anaknya.

Menerusi konsert solo berjudul Resonance: Shila Amzah in Harmony 25 Years of Music and Memories, Shila atau nama sebenarnya, Nurshahila Amir Amzah menitipkan ucapan penghargaan yang cukup menyentuh hati buat dua cahaya matanya, Seth Uwais dan Rhea Akira.

Suasana dewan mula bertukar syahdu apabila Seth turut dilihat berdiri sambil memegang papan tanda bertulis ‘I Love You Mama’ sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi terhadap ibunya yang sedang membuat persembahan di atas pentas.

Anak-Anak Jadi Kekuatan

Dalam keadaan menahan sebak, penyanyi berusia 34 tahun itu meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan anak-anak yang memahami tuntutan kerjayanya sebagai anak seni yang kini sudah mencecah usia 25 tahun.

“Terima kasih kerana tidak menghalang ibu untuk terbang lebih tinggi. Saya sangat mencintai kamu berdua. Saya mencintai anda, Seth, Leia!” katanya sambil disambut tepukan gemuruh penonton.

Momen penuh emosi itu tercetus ketika Shila menyampaikan bait-bait lagu iklan ‘Ibu-Ibu’ yang cukup sinonim dengan jenama susu terkenal suatu ketika dahulu.

Bakat Dikesan Menerusi Lagu Iklan

Shila juga mendedahkan, bakat nyanyiannya mula disedari ibunya sejak kecil menerusi minatnya menyanyikan lagu-lagu iklan di televisyen.

“Ibu saya adalah orang yang selalu nampak Syah (Shila) suka nyanyi lagu-lagu iklan. Dulu-dulu tiada media sosial, jadi setiap kali menonton TV, itulah masanya dia menyedari bahawa saya boleh menyanyi,” kongsinya.

Tambah menarik, penyanyi itu turut memaklumkan anak-anaknya kini menunjukkan minat yang sama apabila gemar menyanyikan lagu-lagu iklan seperti dirinya sewaktu kecil.

Dalam masa sama, konsert berkenaan bukan sekadar sebuah persembahan muzik semata-mata, sebaliknya turut diraikan sebagai simbol sambutan Hari Ibu.

Pihak penganjur bersama jenama Fernleaf turut mengambil inisiatif mengagihkan bunga carnation kepada semua ibu yang hadir sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan golongan tersebut.

Usaha itu sekali gus menjadikan Resonance: Shila Amzah in Harmony 25 Years of Music and Memories sebagai sebuah malam penuh makna dan memori indah buat seluruh penonton yang hadir.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Published by
MH