
Penyanyi Ara Johari mengakui perjalanan selama 10 tahun dalam industri muzik bukanlah sesuatu yang mudah.
Malah, pelbagai cabaran terpaksa ditempuh demi memastikan namanya terus bertahan dalam persada seni.
Menurut Ara, tempoh sedekad itu menyaksikan dirinya melalui pelbagai fasa pasang surut, termasuk berdepan kesukaran kewangan, ketiadaan tawaran kerja serta cabaran ketika pandemik Covid-19.

“Tempoh 10 tahun ini amat berat buat saya. Ada fasa naik turun dan jatuh bangun. Segalanya saya pernah lalui. Ketika ini, saya masih belum berada di tahap yang selesa lagi. Saya rasa masih belum selamat lagi.
“Tempoh ini sangat sangat lama. Ada fasa di mana saya tiada duit, tiada tawaran kerja langsung dan juga fasa pandemik. Detik-detik itu sangat mencabar.
“Alhamdulillah rezeki saya semakin bertambah baik pada 2024 dan sehingga kini saya masih teguh untuk terus keluarkan lagu, buat muzik video dan melabur untuk mengadakan showcase sendiri.
“Kalau diberikan rezeki lebih, saya mahu berada lama lagi di dalam industri,” katanya kepada MH.
Ara berkata demikian ketika ditemui pada acara sidang media pelancaran single terbaharunya berjudul Kisah Yang Hampir Sempurna, baru-baru ini.

Enggan Mengalah, Muzik Sudah Sebati Dalam Diri
Meskipun berdepan pelbagai cabaran, Ara menegaskan dirinya tidak pernah terfikir untuk mengalah, apatah lagi meninggalkan bidang seni yang sudah sebati dengan jiwanya sejak berusia 10 tahun.

“Saya tak pernah mengalah dalam bidang muzik kerana muzik adalah jiwa saya. Saya minat bidang muzik sejak usia 10 tahun lagi. Bagi saya, mengaku kalah bukan cara terbaik.
“Walaupun tiada duit atau tawaran kerja, kita tak boleh mengalah dalam buat sesuatu yang kita suka.
“Jika sesebuah lagu itu tidak menjadi, kita cuba lagu lain pula sampai jadi. Saya tahu rezeki itu tidak akan salah alamat. Saya percaya yang saya mampu meneruskan kerjaya ini,” ujarnya.
Sementara itu, bersempena genap sedekad bergelar anak seni, Ara berbesar hati untuk mengadakan showcase sulungnya, Sedekad BersuARA, yang bakal berlangsung pada 20 November depan.
Mengulas mengenai penganjuran showcase berkenaan, Ara berkata dia mahu mewujudkan suasana lebih intim bagi membolehkannya meluangkan masa dengan lebih dekat bersama peminat setia, sekali gus mencipta kenangan istimewa bersama mereka.

‘Sedekad BersuARA’, Showcase Sulung Diuruskan Sendiri
“Ini adalah showcase terbesar saya yang pertama. Saya urus sendiri tanpa syarikat label. Saya bergerak secara solo. Namun, untuk mengadakan sebuah konsert besar, jika ada rezeki, saya akan buat nanti.
Anda mungkin berminat dengan
“Ketika ini, saya mahu mengadakan showcase yang intimate dahulu. Saya mahu berada dekat bersama peminat. Saya cipta memori itu bersama-sama. Tiada yang akan terlepas melihat saya.
“Saya pilih vanue itu kerana sususan kerusinya sangat cantik. Semua orang akan dapat melihat saya,” ujarnya.
Jelas Ara lagi, perancangan untuk menjayakan showcase berkenaan sudah dilakukan sejak sekian lama. Malah, persiapan kini sudah mencapai 60 peratus menjelang penjualan tiket yang bakal dibuka minggu hadapan.
“Perancangan showcase ini sudah dibuat agak lama cuma kita baru sahaja nak menjual tiket pada minggu hadapan. Persediaan kita sudah pun 60%. Cuma saya masih belum berjumpa dengan Chaan selaku pengarah muzik.
“Jika dapat sambutan yang luar biasa, mungkin kita akan teruskan lagi pada masa akan datang,” akhirinya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

