
Pelakon dan usahawan, Salina Saibi kembali mengimbas detik istimewa apabila perniagaannya, Salina Beauty Corset, berjaya meraih Anugerah Jenama Pilihan Tahunan.
Bagi Salina, pengiktirafan yang diterima itu merupakan hasil daripada komitmen, dedikasi serta usaha berterusan yang dilakukan selama ini, selain percaya segala kejayaan yang dikecapi hadir dengan izin dan perancangan Allah SWT.
View this post on Instagram
“Alhamdulillah satu detik yang akan dikenang.
Saya percaya setiap kejayaan hadir dengan izin dan kehendak Allah SWT. Setiap rezeki, peluang dan kejayaan telah ditentukan oleh-Nya.
“Kita hanya mampu berusaha, berdoa dan bertawakal. Selebihnya, Allah sebaik-baik perancang,” tulisnya.
Perkongsian tersebut dimuat naik oleh pelakon filem Gerak Khas itu menerusi satu hantaran terkininya di Instagram.
Hargai Sokongan Keluarga, Pasukan & Sahabat
Dalam pada itu, Salina turut menyifatkan kejayaan yang diraih tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan padu daripada insan-insan terdekat yang sentiasa berada di sisinya.

“Saya benar-benar berasa bertuah dan amat bersyukur dengan segala yang dikurniakan. Di sebalik setiap kejayaan, pasti ada sistem sokongan yang kuat.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya tujukan kepada pasukan saya, mak, suami, keluarga serta sahabat baik saya.
“Terima kasih kerana sentiasa mempercayai, menyokong dan menjadi sebahagian daripada perjalanan ini.
“Kejayaan ini juga milik anda semua,” kongsinya lagi.
Malah, pengiktirafan tersebut juga menjadi suntikan semangat buat Salina untuk terus melangkah lebih jauh dalam bidang perniagaan, selain berhasrat menjadi inspirasi kepada wanita lain.

Mahu Terus Berusaha & Jadi Inspirasi
Menganggap penghargaan yang diterima bukan sebagai titik noktah, Salina sebaliknya melihat ia sebagai permulaan kepada perjalanan baharu untuk terus membina kejayaan yang lebih besar.
“Ini bukanlah noktah kepada perjalanan saya, sebaliknya satu permulaan baharu.
“Saya akan terus berusaha, menjadi inspirasi, memperkasa orang lain dan membina sesuatu yang lebih besar pada masa akan datang.
“Tak kira sejauh mana kita melangkah, jangan pernah lupa untuk bersyukur dan menghargai insan yang sentiasa ada bersama kita,” katanya lagi.
Dalam hantaran sama, Salina turut meluahkan rasa syukur atas segala rezeki dan peluang yang diberikan, selain berharap setiap langkah serta usaha yang dilakukan sentiasa mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Anda mungkin berminat dengan
“Semoga Allah memberkati setiap langkah, setiap usaha dan setiap rezeki yang dikurniakan dengan keberkatan yang tidak berkesudahan.
“Pasang impian setinggi langit, berusaha dengan bersungguh-sungguh, sentiasa merendah diri dan serahkanlah kepada Allah untuk mengatur sebaik-baik perjalanan hidup.
“Alhamdulillah atas segala-galanya,” akhirinya.
Terdahulu, Anugerah Jenama Pilihan Tahunan merupakan antara pengiktirafan yang diperkenalkan menerusi penganjuran Anugerah Personaliti Industri dan Usahawan Malaysia 2026.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Instagram Salina Saibi

sekarang!

