Categories: Berita Hiburan

“Saya Okay, Alhamdulillah,” – Tersingkir Awal Selepas Bawa Lagu ‘Halaman Cinta’, Nana Mahazan Tetap Bangga Dengan Usaha Althea

Share

Selebriti Nana Mahazan menerima dengan hati terbuka apabila dia bersama anaknya, Althea menjadi duo pertama yang tersingkir daripada pentas Talk To My Manager musim ke-2 (TTMM2), malam tadi.

Menurut Nana, meskipun wujud sedikit rasa ralat, dia lebih tersentuh melihat kesungguhan yang ditunjukkan Althea sepanjang pertandingan berlangsung.

“Saya okay sahaja, alhamdulillah. Rasa ralat itu memang ada. Namun, rasa sedih saya lebih kepada Althea kerana setiap minggu, dia akan sentiasa buat yang terbaik.

“Kategori muziknya juga mungkin agak berbeza daripada yang lain. Mungkin program ini bukan tempat untuk orang menerima kelainan yang cuba ditunjukkan oleh Althea.

“Pada minggu ini pula, dia membawakan lagu yang ‘berhantu’. Althea sudah buat yang terbaik. Walaupun tersingkir, saya sangat bangga.

“Persembahan Althea lebih baik daripada minggu-minggu sebelumnya. Ini adalah pertandingan. Ada yang menang, kalah dan tersingkir. Kami terima sahaja,” katanya.

Nana dan Althea ditemui sejurus tamat konsert minggu ketiga TTMM2 di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.

Sementara itu, Althea akui sedih kerana terpaksa meninggalkan pertandingan lebih awal daripada jangkaannya.

“Saya agak kecewa kerana tersingkir terlalu awal. Kalau boleh, saya tak nak tersingkir lagi. Saya jangka mungkin akan tersingkir pada minggu keempat, namun penyingkiran itu datang lebih awal.

“Apapun, saya sudah buat semampu saya. Saya agak sedih kerana tak berpeluang lagi untuk buat persembahan di pentas sebesar ini.

“Saya juga akan merindukan momen-momen bersama rakan-rakan TTMM2,” katanya.

Persembahan ‘Halaman Cinta’ Jadi Momen Bermakna

Membawakan lagu Halaman Cinta nyanyian Misha Omar, Nana menyifatkan persembahan Althea seolah-olah menebus kembali kenangan lama ketika dia pernah menerima kritikan hebat sewaktu menyampaikan lagu sama dalam Akademi Fantasia 1, 23 tahun lalu.

“Saya rasa Althea berjaya tebus semula persembahan saya yang dahulu. Persembahannya jauh lebih baik berbanding saya. Cuma mungkin juri merasakan ada kekurangan di dalam persembahannya.

“Namun, secara peribadi, saya gembira bila ramai yang memberikan komen-komen positif di media sosial,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Nana turut menegaskan bahawa pemilihan lagu bukanlah satu kesilapan, sebaliknya selari dengan tema minggu berkenaan.

“Saya tak rasa ralat dengan pemilihan lagu. Kita memang nak mengikut tema iaitu lagu yang membawa kenangan kepada manager. Takkan nak bawa lagu I’m Survive lagi.

“Tak mengapalah. Ini adalah permainan program realiti. Jadi, kita faham. Kita terus melangkah ke hadapan sahaja,” akhirinya.

Terdahulu, Nana dan Althea terpaksa akur berada di kedudukan tercorot selepas hanya meraih markah sebanyak 58.67 peratus pada konsert minggu ketiga.

Sementara itu, pasangan Ani Maiyuni dan Viviana terus cemerlang apabila sekali lagi menduduki tempat pertama dengan markah 84.33 peratus.

TTMM2 dikendalikan oleh Aznil Nawawi bersama barisan juri AC Mizal dan Sarimah Ibrahim.

Setiap pasangan ‘pengurus-artis’ dinilai secara keseluruhan dengan pecahan 60 peratus untuk pengurus dan 40 peratus untuk artis di bawah seliaan masing-masing.

Konsert TTMM2 disiarkan setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104), secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam dan turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO serta Sooka.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Published by
Aizam Manaf