
Penyanyi dan pelakon terkenal, Ziana Zain meluahkan rasa syukur dan terharu apabila dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M.) yang membawa gelaran Datuk, sekali gus menjadi pengiktirafan terhadap lebih tiga dekad sumbangannya dalam industri seni tanah air.
Penganugerahan tersebut disampaikan di Balai Istiadat Seri Negeri pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Hari Jadi Ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.
Menurut Ziana, penganugerahan tersebut cukup bermakna kerana ia diterima daripada negeri kelahiran sendiri, selain menyifatkan segala usaha yang dilakukan selama ini sebagai satu tanggungjawab kepada peminat.
“Syukur, alhamdulillah dengan rezeki yang Allah bagi. Selepas lebih 30 tahun berjuang dalam bidang seni ini, ia dihargai lebih-lebih lagi di negeri kelahiran kita.
“Sangat berbesar hati, berbangga dan sangat bersyukur.
“Sebab penganugerahan ini bukan sahaja macam orang kata atas bakti, tapi bagi saya apa yang saya buat ini adalah tanggungjawab kepada para peminat,” katanya ketika ditemui media.
Baca Artikel Lain;


Sebak Kenang Arwah Ibu Bapa
Dalam masa sama, penyanyi lagu Madah Berhelah itu turut sebak apabila mengenangkan kedua-dua ibu bapanya yang tidak sempat menyaksikan detik penuh bermakna tersebut.
“Saya sangat bersyukur walaupun rasa sedih juga sebab kedua ibu bapa saya tak dapat tengok. Itu yang saya sedih, selainnya rasa syukur alhamdulillah,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berjanji akan terus membawa nama baik Melaka walau di mana sahaja berada sebagai tanda penghargaan terhadap negeri yang menjadi tempat kelahirannya.
“Walau saya di mana berada pun, saya tetap akan bawa nama negeri kelahiran. Melaka di hati kita. Jangan lupa di mana kita dilahirkan. Di mana bumi dipijak, di situlah kita, insya-Allah,” katanya.
“Nak biasakan (status Datuk), mungkin saya akan ambil masa. Buat masa sekarang tak tahu nak cakap bagaimana. Rasa macam mimpi pun ada. Apa pun, saya sangat bersyukur,” katanya lagi.
Anda mungkin berminat dengan
Terdahulu, Ziana merupakan antara 189 individu yang menerima D.P.S.M. dalam istiadat berkenaan, bersama penerima lain daripada pelbagai latar belakang termasuk perkhidmatan awam, politik, korporat dan seni.
Ketika istiadat berlangsung, bintang filem Sembilu itu anggun mengenakan Baju Kurung Moden lengkap dengan perincian selendang berwarna biru.
Penyanyi yang berusia 58 tahun itu juga dilihat tenang dan yakin ketika namanya diumumkan sebagai penerima darjah kebesaran berkenaan.
Pengiktirafan itu sekali gus menjadi antara pencapaian paling bermakna dalam perjalanan seni Ziana yang telah mewarnai industri hiburan tanah air sejak penghujung era 1980-an.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

