
Penyanyi Emma Suhaimi mendedahkan dia berjaya menurunkan berat badan sebanyak 16 Kilogram (Kg) dalam tempoh enam bulan sebagai persediaan untuk kemunculan semulanya menerusi single berjudul Tersakiti.
Menurut Emma, perubahan tersebut dilakukan demi memastikan dirinya tampil lebih yakin selain mahu menampilkan versi dirinya yang lebih baik berbanding sebelum ini.


“Tidak mungkin saya mahu kembali dengan fizikal yang sama seperti dahulu. Saya mahu ada perbezaan antara Emma yang dulu dan sekarang.
“Saya sedar saya perlu melakukan sesuatu untuk kelihatan lebih ‘presentable’,” katanya kepada MH.
Emma berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media single terbaharunya, Tersakiti, yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Pernah Jadi Mangsa Kritikan Fizikal
Dalam pada itu, penyampai radio ERA Sabah tersebut mendedahkan dia pernah berdepan kritikan berkaitan fizikalnya.


“Sakit apabila ada yang mengatakan saya gemuk. Memang ketika itu berat badan saya hampir mencecah 80 Kilogram, tetapi tidak perlu berkata begitu.
“Waktu itu, saya tiada perkara lain untuk difikirkan. Saya memang makan sahaja apa yang saya mahu, tanpa menjaga pemakanan dan gaya hidup,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, kakak kepada penyanyi Adira Suhaimi itu turut mengakui pengalaman dalam hubungan peribadi menjadi antara titik perubahan buat dirinya untuk memulakan usaha menurunkan berat badan.
“Saya pernah ditinggalkan dan saya merasakan mungkin faktor fizikal menjadi punca.
“Pada awalnya, pasangan akan berkata tidak mengapa jika saya tidak kurus, tetapi apabila mereka bertemu orang lain, mereka berubah.
“Malah, bekas teman lelaki pernah menegur tentang perubahan berat badan saya, namun ketika itu saya tidak mengambil serius,” kongsinya.
Sasar Berat 52Kg, Jaga Pemakanan
Dalam pada itu, Emma menetapkan sasaran untuk mencapai berat badan sekitar 52 kilogram selain konsisten mengamalkan rutin pemakanan serta gaya hidup sihat.


Anda mungkin berminat dengan
“Saya tidak pernah meninggalkan sarapan, dan saya pastikan ia mengandungi protein supaya dapat mengawal rasa lapar pada waktu pagi.
“Pada waktu petang, saya akan mengambil snek ringan seperti jeruk timun dan buah-buahan seperti tembikai.
“Selain itu, saya turut melakukan aktiviti fizikal seperti berjalan dan mendaki sehingga ke Air Terjun Kanching bersama abang saya.
“Rutin ini telah dimulakan sejak hujung bulan Mac tahun ini dan masih berterusan hingga sekarang,” akhirinya.
Terdahulu, Emma telah melancarkan single Tersakiti, ciptaan komposer dari Indonesia, Ilham Baso, di bawah terbitan Nova Music Malaysia.
Kini, lagu tersebut boleh distrim di semua platform penstriman muzik selepas dilancarkan pada 14 Ogos 2026.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

