
Pelakon sinetron terkenal Indonesia, Rifky Balweel mengakui berasa sedih selepas isterinya, Biby Alraen memutuskan untuk membuka hijab baru-baru ini.
Perkara itu didedahkan sendiri oleh Biby yang menyatakan suaminya menitiskan air mata sewaktu dia menyuarakan hasrat tersebut.
“Nangis dia. Dia tanya kenapa, ada apa. Itu pertanyaan yang sangat melekat dalam fikiran saya,” katanya ketika ditemu bual dalam program Pagi Pagi Ambyar terbitan Trans TV, lapor detikHOT
Menurut Biby, walaupun berat untuk menerima keputusan tersebut, Rifky tetap memberikan sokongan sebagai suami biarpun tidak bersetuju secara mutlak.
“Sebagai pasangan suami isteri, kami sentiasa menyokong satu sama lain. Tak boleh saya bertindak tanpa memikirkan perasaan dia, dan tak boleh juga dia berkeras hati kerana kalau bukan dia yang menyokong, siapa lagi?” katanya.
Biby turut mengakui dirinya masih belum benar-benar selesa tampil tanpa hijab dan hatinya masih dalam fasa pencarian. Malah, Rifky sering mengingatkannya agar tidak meninggalkan kewajipan utama sebagai umat Islam.
“Dia selalu pesan untuk jangan tinggal solat. Katanya, kalau ini fasa proses, jangan keraskan hati. Mungkin suatu hari nanti akan pakai semula. Sebab itu juga dia ajak saya untuk umrah,” jelasnya.

Rifky dalam pada itu berkata, keputusan Biby membuka hijab adalah sesuatu yang mencabar, lebih-lebih lagi ketika memaklumkan perkara itu kepada keluarga isterinya.
“Saya cakap, tak mengapa… yang penting jilbab di hati jangan sampai hilang. Solat lima waktu tetap wajib. Itu perlu dijaga. Keluarga saya tiada masalah, tapi nak beritahu keluarga Biby itu yang agak berat,” katanya.
Rifky yang terkenal sebagai pelakon sinetron berkahwin dengan Biby pada January 2018. Hasil perhubungan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata pada 2020.
Imbas kembali, sebelum berkahwin dengan Biby, Rifky terlebih dahulu pernah mendirikan rumah tangga dengan Risty Tagor pada 2010 sebelum bercerai pada 2014 dan memiliki seorang cahaya mata yang kini berusia 14 tahun.
Mula berkecimpung dalam dunia hiburan sejak berusia 12 tahun lagi, Rifky sehingga kini telah berlakon dalam puluhan drama tv dan sinetron popular Indonesia. Antara lakonan terbaharunya adalah menerusi naskhah bertajuk Kasih Jannah
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI